HomeSukanSkor 6 Gol Lawan PDRM, Xisco Sifatkan Teto Luar Biasa

Skor 6 Gol Lawan PDRM, Xisco Sifatkan Teto Luar Biasa

Setelah meledak enam jaringan buat JDT ketika membelasah PDRM FC 10-1 dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia, nama Teto Martin pantas menjadi sebutan dan siulan penyokong.

Pencapaian bersejarah itu dianggap luar biasa oleh Xisco Munoz, jurulatih JDT, apatah lagi pemain itu sebenarnya merupakan pemain tengah yang diturunkan di posisi penyerang

Xisco juga memuji kerja keras dan sikap tidak berputus asa Teto Martin yang berasal dari Sepanyol untuk terus memenangi kepercayaannya.

“Sudah menjadi lumrah buat pemain, ada masa mereka bergelut dan ada masanya mereka menyinar. Oleh itu, penting buat pemain untuk memanfaatkan minit permainan diberikan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuan diri dan mengekalkan intensiti permainan tinggi.

“Dalam aksi ini, Teto (Martin) menggunakan peluang itu dengan cemerlang, rasanya dia pemain pertama dalam sejarah kelab yang diletakkan di posisi penyerang tatkala posisi sebenar adalah di tengah dan menjaringkan enam gol,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Teto Martin menjaringkan enam gol manakala Marcos Guilherme mencetak dua gol sementara Nazmi Faiz Mansor dan Manuel Hidalgo masing-masing menjaringkan satu gol melengkapkan kenduri gol JDT ke atas skuad The Cops.

Menurut Munoz, kemenangan besar 10-1 itu adalah permulaan positif buat Harimau Selatan dalam misi mempertahankan kejuaraan berprestij itu, namun tetap berwaspada dengan ancaman seterusnya dan mengingatkan setiap tidak terlalu selesa dengan apa yang dicapai.

“Kita bermula dengan sangat baik pada perlawanan itu selepas pemain mempersembahkan corak permainan berintensiti tinggi dari minit pertama dan memberi tekanan kepada lawan, malah pemain mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan.

“Walaupun PDRM FC menjaringkan satu gol, saya enggan menyalahkan sesiapa kerana dalam permainan bola sepak, ada ketika perkara yang ingin kita elak akan berlaku.

“Apapun, kami akan cari solusi untuk mengelak ia berulang dan akan menganalisis supaya kami perlu kekal tanpa bolos,” ujar Munoz.

RELATED ARTICLES

Most Popular