Penyokong bolasepak mungkin sudah sinonim dengan kisah perpindahan yang gagal kerana yuran perpindahan, konflik kontrak, kegagalan rundingan mahupun faktor teknikal lain.
Tetapi pernahkah anda mendengar perpindahan tak jadi kerana wajah yang hodoh? Itulah yang berlaku kepada bekas pemain pertahanan Rusia, Viktor Onopko.
Dalam laporan disiarkan portal antarabangsa, Bein Sports, Onopko mendedahkan kelibatnya pernah menarik tumpuan kelab gergasi La Liga, Barcelona pada tahun 90-an, malah kelab itu begitu hampir menandatanganinya tetapi perpindahan impian itu tidak menjadi kenyataan atas alasan yang tidak masuk akal.
“Saya mengetahui bahawa Barcelona mahu menandatangani saya. Tetapi (Johan) Cruyff atau salah seorang pembantunya berkata wajah saya hodoh dan itulah sebabnya mereka tidak menandatangani saya,” kata Onopko dalam temubual di podcast El Bigote de Abadia.
Pengakuan mengejutkan itu mendedahkan realiti bola sepak pada era tersebut di mana bakat di atas padang kadangkala bukanlah satu-satunya kriteria penilaian kelab-kelab elit Eropah.
Biarpun tidak berpeluang menyarung jersi keramat Blaugrana, Onopko membuktikan kualitinya apabila berjaya menewaskan Barcelona di gelanggang keramat mereka sendiri.
Momen itu hadir ketika beliau menyarung jersi Real Oviedo yang melakar kemenangan bersejarah di Camp Nou pada 27 Mei 2001 – kemenangan yang turut diserikan dengan kisah menarik membabitkan jurulatih legenda, Radomir Antic.
“Antic membayar bonus kemenangan kami menggunakan wang poketnya sendiri. Dia berjanji sebelum perlawanan dan dia menunaikannya,” tambah Onopko yang menyifatkan tindakan itu mengukuhkan hubungan profesional antara mereka.
Kisah Onopko bersama Antic tidak terhenti di Oviedo. Pemain pertahanan kental itu hampir mengikut jejak langkah jurulatihnya ke Atlético Madrid, namun perpindahan itu gagal disebabkan manipulasi pihak ketiga.
Jelas Onopko, dia telah meminta klausa pelepasan dimasukkan jika ada kelab lain menawarkan tawaran lebih baik daripada Oviedo, namun syarat itu dibuang tanpa persetujuannya.
“Saya ada tawaran dari Atlético, tetapi saya sudah tandatangan (dengan Oviedo). Mereka memberitahu jika saya tidak pergi ke Oviedo, saya akan dihukum,” katanya yang mengakui kerjaya bola sepaknya mungkin berubah jika perpindahan itu berlaku.
Di sebalik peluang yang terlepas, pemain yang memiliki 109 kaps antarabangsa dan beraksi di dua Piala Dunia (1994 dan 2002) itu tetap menganggap Sepanyol sebagai rumah keduanya.
Selepas meninggalkan Oviedo, Onopko memilih untuk menyertai Rayo Vallecano kerana faktor jurulatih Fernando Vazquez dan memegang memori indah bersama kelab tersebut walaupun pasukan itu akhirnya tersingkir dari liga.



