HomeSukanHukuman Mungkin Ditarik Balik, Holgado Dikaitkan Dengan JDT

Hukuman Mungkin Ditarik Balik, Holgado Dikaitkan Dengan JDT

Wartawan terkenal dari Chile, Maestro Pichanguero, mengaitkan penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, dengan juara Liga Super 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), sebagai destinasi barunya.

“Pihak terdekat dengan Rodrigo Holgado mengesahkan minggu hadapan terdapat kemungkinan hukuman 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA pada September 2025 akan ditarik balik oleh CAS.

“Ini sebab dari sudut pentadbiran, segala kesalahan jelas berpunca daripada FAM (bukan Holgado) jadi mereka memaklumkan bahawa mereka optimis dengan keputusan akan memihak Holgado, termasuk beberapa pemain lain yang terlibat dalam kes ini.

“Sekiranya hukuman itu ditarik balik, penyerang berkenaan akan menamatkan kontraknya bersama América de Cali yang sepatutnya tamat pada penghujung 2026, kemudiannya dibawa masuk oleh Johor (Malaysia) dengan kontrak jangka panjang.

“Dalam masa sama, Coquimbo Unido (kelab Chile) turut berhasrat untuk mendapatkan khidmat Rodrigo bagi saingan Copa Libertadores. Oleh itu, penyerang tersebut turut mempertimbangkan perkara itu dan sekiranya dia bersetuju, keutamaannya adalah untuk kembali ke Chile menerusi pinjaman selama enam bulan hingga satu tahun,” demikian update daripada Pichanguero.

Sebelum ini, Rodrigo Holgado, pemain berusia 30 tahun dari Argentina dikatakan sedang mempertimbangkan untuk bersara daripada bolasepak kerana menganggap kariernya sudah berakhir. Namun hanya beberapa hari kemudian dia dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk kembali bermain.

Dia antara tujuh pemain warisan negara yang dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen selepas mewakili Malaysia ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 tahun lalu.

Bukan sahaja tujuh pemain terbabit malah FAM turut dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta. Situasi ini menyaksikan FAM membawa kes itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah terakhir bagi melengkapkan prosedur perundangan.

Namun, FAM kemudiannya dikenakan hukuman ‘tambahan’ daripada FIFA selepas badan induk antarabangsa itu membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan yang diharungi skuad Harimau Malaya dan memberikan kekalahan 0-3.

RELATED ARTICLES

Most Popular