HomeSukan"Angin Tolak Bola Masuk Dalam Gol" - Irfan Bakti

“Angin Tolak Bola Masuk Dalam Gol” – Irfan Bakti

Walaupun perjalanan di Piala Malaysia ternoktah susulan kekalahan secara agregat 1-3 kepada Brunei DPMM pada Sabtu, ketua jurulatih Kelantan Red Warrior, Irfan Bakti Abu Salim masih sempat berseloroh menyembunyikan kekecewaan.

Tumpuan selepas aksi di Brunei terarah kepada sidang media Irfan Bakti selepas aksi timbal balik pusingan kedua berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Jurulatih berpengalaman itu ditanya mengenai gol penyamaan DPMM — jaringan terus daripada sepakan penjuru yang mengejutkan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

“Saya tanya penjaga gol macam mana dia tak dapat tangkap bola itu, Shafiq beritahu saya sebab ‘angin’. Katanya angin yang tolak bola itu. Saya cakap dengan dia, lain kali positioning kena lebih baik,” kata Irfan Bakti.

Irfan menambah bahawa pasukannya cuba memanfaatkan keadaan yang sama selepas rehat.

“Separuh masa kedua, kami menyerang arah angin. Saya beritahu pemain, ‘okey, sekarang guna angin dengan betul,’” katanya.

Di sebalik gurauan itu, Irfan berkata beliau tetap berbangga dengan anak buahnya.

“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini. Tetapi saya bangga dengan pemain-pemain saya. Kebanyakan mereka pemain tempatan dan mereka buktikan mampu bersaing,” katanya.

Beliau juga menolak kebimbangan mengenai jumlah kad kuning yang dilayangkan dalam perlawanan yang agak panas itu.

“Kad kuning perkara biasa dalam bola sepak. Selagi tiada pergaduhan, tidak mengapa. Itu semangat kesukanan,” katanya.

Menutup sidang media, Irfan melontarkan satu lagi kenyataan bersahaja mengenai ketenangan pasukannya.

“Kebanyakan budak-budak saya ini kali pertama datang ke Brunei. Macam ‘budak kampung’ tengok tempat baru,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular