Silap sekiranya penyokong bolasepak tanah air menganggap Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dibenarkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain skuad Harimau Malaya sebagai ‘kemenangan’ yang boleh diraikan.
Sebaliknya ia adalah kegembiraan bersifat sementara, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Perkara itu ditegaskan peguam sukan, Nik Erman Nik Roseli menerusi laporan Arena Metro. Menurutnya, pelepasan sementara itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam kes bola sepak, sambil merujuk kes CAS 2008/A/1453 membabitkan Elkin Soto Jaramillo dan FSV Mainz 05, apabila penggantungan empat bulan ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Nik Erman menegaskan, pemberian penangguhan itu sebenarnya tidak mencerminkan bagaimana CAS akan memutuskan merit rayuan berkenaan.
“Perintah sementara ini tidak memberi sebarang petunjuk terhadap keputusan muktamad kerana panel tidak perlu meneliti sepenuhnya merit kes, sebaliknya sekadar memastikan wujudnya rayuan prima facie.
“Dengan kata lain, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai petanda bahawa rayuan itu akan berjaya. Sekiranya rayuan ditolak, penggantungan itu akan dikuatkuasakan semula atau diteruskan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pertimbangan paling penting sebelum membenarkan tujuh pemain beraksi adalah keputusan membabitkan perlawanan selepas ini turut berdepan risiko pemotongan mata jika keputusan akhir CAS memihak kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Jika rayuan ditolak, keputusan perlawanan yang disertai pemain digantung itu akan dibatalkan, sama seperti yang berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum keputusan FIFA sebelum ini,” katanya sekali gus membayangkan implikasi ke atas perlawanan akan datang, termasuk aksi kelayakan Piala Asia sekiranya pemain terbabit diturunkan sebelum keputusan muktamad CAS diumumkan.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan CAS menerima permohonan tujuh pemain skuad Harimau Malaya menangguhkan keputusan penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA terhadap mereka.
Menerusi kenyataan FAM, tujuh pemain iaitu Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel mengemukakan Penangguhan Pelaksanaan.
Susulan itu, mereka dibenarkan meneruskan karier masing-masing serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.
Mengulas lanjut perkara itu, Nik Erman yang juga pakar undang-undang sukan mengakui penangguhan pelaksanaan yang diberikan CAS adalah langkah interim di bawah Artikel R48 dan R37 Kod CAS, yang membolehkan pemain terus beraksi sementara rayuan mereka didengar.
Menurutnya, permohonan penangguhan biasanya difailkan bersama pernyataan rayuan dan perlu memenuhi tiga elemen undang-undang utama untuk diluluskan.
“Pertama ialah kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada pemain, bermaksud mereka akan mengalami kerugian yang tidak boleh diganti kemudian hari, seperti kehilangan masa bermain, sekiranya rayuan akhirnya berjaya.
“Kedua ialah kebarangkalian kejayaan, iaitu rayuan mesti menunjukkan peluang prima facie untuk berjaya.
“Ketiga ialah imbangan kepentingan apabila kepentingan pemain perlu mengatasi kepentingan FIFA,” katanya.



