Jangan lihat peletakan jawatan kesemua Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai tragedi atau malapetaka bolasepak tanah air, sebaliknya lihat ia sebagai rahmat yang akan membantu membersihkan dan menjadikan pentadbiran badan induk itu lebih mantap.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya yakin kehadiran ‘pasukan pakar’ daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mampu membantu badan induk itu melakukan perubahan yang lebih mantap dalam aspek pentadbiran.
Jelasnya, FAM akan memberikan kerjasama terbaik kepada pasukan AFC yang akan menilai secara terperinci terhadap pengurusan atau pentadbiran FAM.
“Kami menjemput AFC untuk melihat apa yang ada di FAM sekarang ini berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka. Bagi pihak sekretariat, memang kami bersedia dan akan bekerjasama rapat dengan AFC mengenai apa yang perlu dilakukan.
“Sekarang ini dalam tempoh tiga, empat bulan memang kami perlu bekerja keras, tengok apa yang harus diperbetulkan dan yang lebih penting adalah perkembangan bola sepak negara. Terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif yang berbesar hati untuk meletakkan jawatan.
“Mereka meletakkan bola sepak negara melebihi daripada kepentingan peribadi. Terima kasih juga kepada AFC yang sanggup bersama dengan kami dan mengambil langkah untuk membentuk persatuan (FAM) supaya menjadi organisasi lebih mantap, cemerlang dan professional,” katanya.
Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media, semalam mengumumkan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.
Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kembalinya barisan Exco terdahulu ke dalam pentadbiran apabila kongres pemilihan diadakan semula.
“Buat masa ini, mereka tidak memberi sebarang bayangan untuk bertanding semula, mungkin kerana situasi ini masih baharu bagi mereka.
“Bagi saya, saya mahu lihat dahulu perubahan dalam FAM dan apakah cadangan daripada AFC untuk menambah baik FAM. Kita mahu lihat penambahbaikan jika ada kelemahan. Mungkin selepas itu mereka (ahli Exco) ada niat untuk bertanding semula, masuk balik ke dalam FAM.
“Tetapi setakat ini, tiada sebarang petunjuk daripada Exco yang meletak jawatan. Kita semua hanya mahu lihat penambahbaikan dalam FAM,” katanya.



