HomeSukanMana Pergi Rob Friend dan Pengurusan Harimau Malaya?

Mana Pergi Rob Friend dan Pengurusan Harimau Malaya?

Ke mana menghilang Rob Friend dan pengurusan Harimau Malaya, ketika kemelut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang memuncak.

Di kala barisan Exco FAM telahpun meletakkan jawatan beramai-ramai beberapa hari lalu, atas dasar tanggungjawab dan mengelakkan digantung FIFA, apa pula tindakan pengurusan pasukan kebangsaan di bawah Rob Friend?

Semua sedia maklum, tindakan diambil Exco FAM adalah berkait dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan negara, justeru kenapa mereka sahaja yang perlu memikul tanggungjawab manakala pengurusan Harimau Malaya berdiam, buat tak tahu?

Menurut bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, walaupun team tersebut bergerak secara berasingan daripada FAM, mereka memainkan peranan besar dalam mengesan pemain naturalisasi yang boleh memperkuatkan pasukan negara.

Malah segala kemelut ini bermula daripada pemain yang mereka cari dan rekemenkan kepada FAM untuk dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan.

“Saya sendiri tertanya-tanya juga mengenai pengurusan skuad kebangsaan. Bagi saya, adakah tidak adil tanggungjawab dipikul oleh semua Exco FAM yang sebenarnya baharu dilantik, tetapi terpaksa meletakkan jawatan selepas 11 bulan dilantik.

“Sedangkan pengurusan skuad Harimau Malaya itu sudah dibentuk ketika Exco yang lama lagi. Memang tak wajar untuk mereka pula yang meletakkan jawatan.

“Malah, mana pergi pengurusan skuad Harimau Malaya. Kenapa mereka tidak ambil tanggungjawab sama seperti Exco. Proses dokumentasi bermula dari pengurusan kebangsaan, jadi mereka juga perlu ambil tanggungjawab,” katanya kepada Arena Metro.

Pada Rabu lalu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media mengumumkan semua Exco bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.

Susulan itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama sekretariat FAM menubuhkan petugas khas bagi membuat penilaian dalam usaha mengubah struktur serta dasar baharu bagi menjadikan FAM sebuah organisasi yang lebih mantap, profesional dan relevan dengan landskap bola sepak antarabangsa semasa.

Langkah berkenaan juga bertujuan meraih semula kepercayaan FIFA yang sebelum itu mendedahkan kelemahan urus tadbir FAM dalam Motivated Decision dikeluarkan sebelum ini.

Untuk rekod, FIFA menerusi Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel serta denda.

Begitupun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengeluarkan arahan Penangguhan Pelaksanaan, di mana ia membolehkan pemain berkenaan beraksi semula sehingga keputusan penuh di keluarkan CAS pada atau selepas 26 Februari ini.

RELATED ARTICLES

Most Popular