HomeSukan"Tak Perlu Menyibuk, Kalau Rasa Layak, Sila Bertanding" - Dollah

“Tak Perlu Menyibuk, Kalau Rasa Layak, Sila Bertanding” – Dollah

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Dollah Salleh ada teguran untuk pihak yang tidak mahu muka sama menerajui badan induk itu.

Beliau ternyata tidak berapa selesa dengan pandangan yang dilontarkan, justeru meminta supaya menyerahkan sahaja kepada ahli gabungan untuk menentukan siapa individu yang mahu dicalonkan, sama ada wajah baru atau lama.

Tegasnya, orang luar tidak perlu sibuk, kerana hanya ahli gabungan mempunyai mandat tersebut dan pihak luar ataupun mana-mana individu tiada hak untuk masuk campur.

“Benda ini yang menentukan bukan siapa-siapa, ahli gabungan yang menentukan. Kalau ada orang luar nak sibuk, itu bukan urusan mereka. Kalau rasa layak, sila bertanding, tapi semua tertakluk kepada ahli gabungan. Jangan ganggu proses yang sudah ditetapkan.

“Kalau ada yang nak pertikaikan, silakan. Namun, benda ini bukan untuk orang luar campur tangan. Kami buat semua ini untuk FAM, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kalau diberi peluang bertanding semula pun, itu semua terpulang kepada ahli gabungan, bukan kami yang tentukan,” katanya dilaporkan BH Sukan.

Pemilihan barisan kepemimpinan baharu FAM kembali hangat susulan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif meletak jawatan pada 28 Januari lalu.

Pemerhati-pemerhati, penganalisis, mahupun bekas pemain menggesa agar muka sama tidak kembali bertanding kerana sepanjang mereka di dalam FAM, tiada perubahan yang dilakukan. Mereka mengharapkan muka baru diberi peluang memacu reformasi.

Tambah Dollah Salleh lagi, pembabitan beliau dalam FAM bukan untuk mengejar jawatan, sebaliknya atas dasar demi bola sepak negara termasuk sanggup berkorban masa dan tenaga.

Mengakui masih baru dalam pentadbiran persatuan kebangsaan itu, beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan pihak tertentu yang cuba memperlekehkan barisan kepemimpinan FAM sebelum ini.

“Kami sanggup berkorban. Kalau nak tahu, kami boleh duduk (dalam FAM) sampai 2029, tapi sebab nak selamatkan FAM, kami rela duduk berbincang, membantu apa yang patut. Bukan mudah nak dapat jawatan ini, jadi kami lakukan semuanya dengan penuh tanggungjawab.

“Betul-betul saya tak faham kenapa ada unsur iri hati, sedangkan kami berkorban. Ingat senang ke nak dapat jawatan itu? Kalau diberi peluang nak bertanding balik pun belum tentu menang, sebab yang menentukan bukan kami, tapi ahli gabungan,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular