HomeSukan"Saya Maksudkan Kami Berkorban, Bukan Jadi Kambing Hitam"

“Saya Maksudkan Kami Berkorban, Bukan Jadi Kambing Hitam”

Bekas Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Zainal Abidin Hassan, menafikan bahawa beliau ada mengaku atau menggambarkan dirinya menjadi kambing hitam susulan peletakan jawatan secara beramai-beramai pada bulan lalu.

“Apa yang saya beritahu dalam temubual adalah kami berkorban demi bolasepak tanah air tanpa sebarang kepentingan peribadi. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa dan tidak melabel diri saya sebagai kambing hitam.

“Kambing hitam itu adalah tafsiran dibuat awak (penulis), keputusan untuk letak jawatan diambil secara bersama, kami merasakan ini tindakan yang betul. Dan saya minta awak perbetulkan tafsiran yang salah ini. Saya tegaskan tidak keluarkan perkataan kambing hitam kepada mana-mana temubual,” kata Zainal kepada OtaiStation.

Dalam artikel disiarkan OtaiStation pada Khamis, legenda bola sepak tanah air itu menegaskan bahawa peletakan jawatan tersebut adalah satu pengorbanan, bukannya pengakuan kegagalan.

Baca: Zainal Abidin Bersuara Isu Peletakan Jawatan

“Kami berkorban demi kebaikan bola sepak negara, demi FAM. Pengorbanan kami sepatutnya dihargai,” katanya, sambil menyifatkan langkah itu sebagai cara yang “bersih” bagi membolehkan siasatan dan pembaharuan struktur FAM diteruskan.”

Zainal yang hanya berkhidmat selama 11 bulan, berkata beliau dan beberapa Exco baharu lain dipaksa berdepan krisis yang bukan berpunca daripada mereka, lalu memilih untuk meletak jawatan secara sebulat suara demi menjaga integriti FAM.

“Saya masih baharu dalam FAM… tiba-tiba kes ini berlaku. Kami baca statut, baca semua undang-undang. Cara terbaik untuk membersihkan nama baik FAM adalah dengan meletak jawatan,” jelasnya.

Beliau juga membidas pemerhati mahupun pengkritik yang mendakwa Exco FAM yang telah meletak jawatan beramai-ramai susulan skandal pemalsuan dokumen pemain warisan baru-baru ini tidak seharusnya kembali bertanding dalam pemilihan akan datang.

Zainal tidak bersetuju bahawa bekas Exco perlu “dibatalkan kelayakan” daripada bertanding, sambil menegaskan mereka yang pernah dilantik sebelum ini telah mendapat kepercayaan ahli gabungan.

“Orang yang kata individu ini tak boleh bertanding… mereka sepatutnya masuk pemilihan itu sendiri, bukan menyuruh orang lain jangan bertanding. Saya rasa ada yang terlupa atau tidak arif mengenai Statut FAM. Mereka yang memegang jawatan itu dipilih oleh ahli gabungan. Ini bermakna mereka mendapat kepercayaan dan dilihat mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ujar Zainal seperti dilaporkan NST Sports.

RELATED ARTICLES

Most Popular