HomeSukanDua Bintang Harimau Malaya Hampiri Perpindahan Impian Ke JDT

Dua Bintang Harimau Malaya Hampiri Perpindahan Impian Ke JDT

JDT nampaknya terus berselera mengukuhkan cengkaman selaku raja futsal tanah air – dua pemain kebangsaan bakal memperkuatkan skuad yang sudah sedia dibarisi pemain bintang itu dalam tempoh terdekat.

Otai Station difahamkan pasukan dari selatan tanah air itu telahpun menghubungi secara rasmi kelab pantai timur yang diwakili dua pemain tersebut. Perpindahan sudahpun hampir dimuktamadkan dengan jumlah bayaran yang dipersetujui.

“Ya kedua-dua pemain akan menyertai JDT bagi musim baru, mencari haluan baru dalam karier. Walaupun berat melepaskan pemain yang kita gilap sehingga berjaya membina nama sebagai pemain kebangsaan, tapi sudah tentu ini perkembangan yang baik untuk karier mereka.

“Kita berterima kasih kepada kedua-dua mereka kerana telah menjadi tonggak utama pasukan dalam kejayaan di Malaysian Premier Futsal League dan Malaysia Futsal Cup,” menurut sumber.

Untuk rekod, pasukan Harimau Selatan bukanlah asing di dalam mendapatkan pemain-pemain berprofil tinggil yang juga nama besar arena futsal tanah air.

Mereka ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemain kebangsaan dengan enam daripadanya beraksi di Piala Asia Futsal 2026 baru-baru ini iaitu Firdaus Ambiah, Danial Dain, Saad Sani, Ridzwan Bakri, Awalluddin Md Nawi dan Ekmal Shahrin.

Manakala beberapa pemain lain yang berstatus pemain kebangsaan termasuklah Mahadir Harahap, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Azri Rahman dan Abu Haniffa Hasan.

Skuad juara MPFL 2024 dan 2025 itu juga baru sahaja menyambar khidmat penjaga gol muda berbakat besar – Ammar Harith Mohamad – yang membantu skuad Malaysia B-19 memenangi gangsa di Kejuaraan Futsal ASEAN 2025.

Baca : Dari Kelantan ke JDT, Impian Ammar Harith Jadi Kenyataan

JDT pada musim ini, akan dibimbing oleh pengendali dari Portugal, Joao Almeida, pastinya dengan sasaran untuk mengekalkan kejuaraan liga buat musim ketiga berturut-turut dan merampas semula trofi MFC yang terlepas ke tangan Selangor.

Bagaimanapun sehingga ke saat ini, Persatuan Bolasepak Malaysia belum mengumumkan perancangan musim baru MFPL yang sudahpun berehat selama enam bulan.

Enam bulan sejak liga berakhir dan berada dalam fasa off-season, namun tiada khabar berita mengenai saingan musim baru.

RELATED ARTICLES

Most Popular