HomeSukanSayang Perak Dorong Wan Zack Lupakan Pengalaman Pahit

Sayang Perak Dorong Wan Zack Lupakan Pengalaman Pahit

Ketika beraksi dengan Perak FC, Wan Zack Haikal berdepan dengan masalah tunggakan gaji. Bukan sebulan atau dua, tapi tujuh bulan setengah. Tunggakan itu sehingga kini belum diselesaikan sedangkan kelab itu pula sudahpun ‘tutup kedai’.

Di sebalik pengalaman pahit yang boleh sahaja meninggalkan rasa kecewa, sakit hati dan dendam, Wan Zack kembali ke bumi Ipoh untuk menyarung jersi Perak FA dalam saingan Liga A1 SemiPro.

Bagi Wan Zack, sama ada FC ataupun FA, kepulangannya bukan lagi didorong oleh gaji sebaliknya oleh sesuatu yang lebih peribadi — rasa keterikatan, rasa sayang dan keyakinan terhadap usaha membina semula pasukan.

Pengalaman luasnya kini menjadi aset penting buat skuad muda Perak FA.

“Ia bukan lagi soal gaji. Saya sudah berada di penghujung karier, dan saya memilih untuk kembali ke Perak kerana saya benar-benar sayangkan pasukan ini. Saya meletakkan gaji sebagai keutamaan kedua atau ketiga. Apa yang paling penting ialah saya dapat menyumbang dan berbakti kepada pasukan yang saya sayang,” katanya.

Tambah bekas pemain sayap kebangsaan itu lagi: “Apabila saya tiba di Perak pada 2022, saya fikir saya akan menamatkan karier di sini. Selepas beraksi selama empat musim, seperti yang semua tahu, kelab tiba-tiba menghentikan operasi.”

“Saya terpaksa mencari pasukan lain selepas Perak FC ditutup dan bermain dengan Penang. Sehingga kini, Perak FC masih berhutang gaji saya selama tujuh bulan setengah.

“Kes itu masih berjalan di Jabatan Tenaga Kerja. Keadaannya agak rumit dan saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk menyelesaikannya,” kata Wan Zack, dipetik daripada Timesport.

Tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia bukan sesuatu yang baru, bukan juga sesuatu yang pelik. Ia ibarat ‘upacara tahunan’ ataupun pakej wajib bolasepak tanah air – malah situasi sentiasa bertambah buruk, bertambah sukar apabila kelonggaran diberikan badan pengelola, sehingga akhirnya kelab gulung tikar.

RELATED ARTICLES

Most Popular