Nottingham Forest mencipta sejarah tidak diingini, apabila memecat pengurus ketiga mereka, Sean Dyche dalam tempoh tidak sampai semusim.
Ia berikutan keputusan seri hambar di laman sendiri menentang Wolves menyebabkan mereka hanya berada tiga mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris. Dyche sempat bersama pasukan hanya untuk empat bulan.
Forest kini sedang mencari pengurus keempat musim ini – satu rekod dan sejarah baru dalam EPL. Kelab lain pun pernah memecat tiga pengurus sebelum ini antaranya Crystal Palace, Portsmouth, Leicester, Swansea dan Aston Villa, tetapi sekurang-kurangnya pengurus ketiga kelab-kelab itu bertahan sehingga musim berakhir.
Ini kali pertama tiga pengurus dipecat ketika musim masih berbaki lebih tiga bulan untuk ditamatkan. Sebelum ini pemilik kelab Evangelos Marinakis telah memecat Nuno Espirito Santo dan Ange Postecoglou musim ini, dan kesabarannya sekali lagi teruji selepas Forest gagal menjaringkan gol meskipun melakukan 35 percubaan.
“Nottingham Forest Football Club mengesahkan bahawa Sean Dyche telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih,” menurut kenyataan kelab itu di platform X.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sean dan barisan kejurulatihannya atas usaha mereka sepanjang bersama kelab dan mendoakan yang terbaik buat mereka pada masa hadapan.”
Keputusan seri 0-0 menentang Wolves yang menghuni tangga tercorot liga meletakkan Forest dalam bahaya penyingkiran yang serius, dengan pasukan Dyche diejek penyokong sendiri sebaik wisel penamat ditiup di City Ground.
Bercakap selepas keputusan seri tersebut, Dyche yang kelihatan muram mengakui beliau seorang yang “realistik” mengenai situasinya yang tidak menentu dan bercakap seolah-olah sudah bersedia menerima nasibnya.
“Pemilik telah berlaku adil kepada saya, tanpa sebarang keraguan. Jika sesiapa memilih untuk membuat perubahan dalam bola sepak ketika ini, itu adalah keputusan mereka. Kita semua telah melihatnya,” tambahnya.
“Jika pemilik mahu membuat perubahan, itu terpulang kepadanya. Begitulah bola sepak sekarang, itulah realitinya. Dia sangat adil dengan saya dari awal hingga akhir, dan saya juga berlaku adil dengannya serta bercakap benar setiap langkah sepanjang tempoh ini.”
Forest menikmati musim yang cemerlang di bawah kendalian Nuno musim lalu apabila berjaya layak ke Liga Europa, namun jurulatih dari Portugal itu dipecat selepas berlaku perselisihan dengan Marinakis berhubung urusan perpindahan pemain.
Tempoh kendalian Postecoglou pula singkat, hanya 39 hari. Dyche juga tidak bertahan lama, sekadar 114 hari.
Marinakis kini mempunyai masa untuk memilih seorang lagi pengurus baharu.
Forest akan bertandang ke Turkiye untuk menentang Fenerbahce dalam aksi Liga Europa pada 19 Februari sebelum menerima kunjungan Liverpool tiga hari kemudian.



