Perubahan peraturan menyaksikan Malaysia tidak akan menghantar pasukan bolasepak untuk beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan tuan rumah Jepun telah menyelaraskan sistem kelayakan, dengan 16 slot Sukan Asia diperuntukkan hanya kepada pasukan yang layak ke Piala Asia Bawah 23 Tahun 2026 di Arab Saudi.
Peraturan baharu berasaskan “prestasi semata-mata” ini adalah perubahan nyata berbanding edisi-edisi terdahulu. Sebelum ini, penyertaan ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia sama ada nak hantar pasukan ataupun tidak untuk mengambil bahagian.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata keputusan itu dibuat oleh OCA bersama negara tuan rumah.
“AFC bertanggungjawab terhadap aspek teknikal pertandingan bola sepak, manakala sukan dan acara berada di bawah bidang kuasa negara tuan rumah.
“Tuan rumah mahu mengadakan pertandingan melibatkan 16 pasukan dan AFC akan menguruskan penyelarasan teknikal penganjuran pertandingan. Kami mempunyai ranking pasukan B-23 berdasarkan Piala Asia 2026 dan ia boleh digunakan.
“Bagi edisi Sukan Asia kali ini, ia akan melibatkan 16 pasukan, dan untuk edisi seterusnya, terpulang kepada tuan rumah untuk menentukan jumlah pasukan yang bertanding,” kata Windsor.
Nasib berbeza bagaimanapun untuk dua lagi team Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand, yang mengesahkan tempat mereka di Sukan Asia Aichi-Nagoya susulan kejayaan layak ke Piala Asia B-23 2026.
Jika melihat kepada skop lebih luas, kegagalan Malaysia mendapat tempat juga berkait dengan keputusan FAM tidak menghantar pasukan menyertai Sukan Asia Hangzhou 2023 bagi memberi keutamaan kepada kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Pada ketika itu, jadual kelayakan berlangsung hanya 10 hari sebelum Sukan Asia, menyebabkan FAM memberi fokus kepada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Kejohanan AFF B-23.
Pencapaian terbaik Malaysia sejak acara bola sepak ditukar kepada format B-23 pada 2003 ialah mara ke pusingan 16 terbaik di Sukan Asia Indonesia 2018, selepas muncul juara kumpulan mengatasi Korea Selatan dan Bahrain sebelum tewas 0-1 kepada Jepun.



