HomeSukanArteta Geram Benda Basic Pun Arsenal Tak Lepas

Arteta Geram Benda Basic Pun Arsenal Tak Lepas

Mikel Arteta mengakui Arsenal wajar dikritik setelah pendahulu EPL itu melepaskan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 menentang kelab tangga tercorot, Wolverhampton Wanderers awal pagi tadi.

Gol daripada Bukayo Saka dan Piero Hincapie meletakkan Arsenal di landasan untuk meraih kemenangan yang boleh membawa mereka berkelebihan tujuh mata di puncak liga.

Namun, The Gunners hilang fokus pada penghujung perlawanan di Stadium Molineux yang diliputi salji apabila membenarkan Hugo Bueno merapatkan jurang sebelum pemain remaja yang membuat penampilan sulung, Tom Edozie, memanfaatkan miscommunication antara David Raya dan Gabriel Magalhaes untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Untuk perlawanan liga kedua berturut-turut, The Gunners gagal mempertahankan kelebihan selepas sebelum ini seri 1-1 menentang Brentford pada Khamis lalu, yang sekaligus mengancam peluang mereka memburu kejuaraan liga musim ini.

Apatah lagi Manchester City kini hanya lima mata di belakang dan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, selain akan berdepan Arsenal di laman sendiri pada April.

“Kami amat kecewa. Kami perlu terima hakikat ini. Kami perlu mengkritik diri sendiri kerana ia tidak cukup baik. Dalam liga, realitinya kami tidak konsisten dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata Arteta.

Selepas mensia-siakan kelebihan besar dalam dua perebutan gelaran sebelum ini menentang Manchester City, Arsenal kini berdepan risiko dihantui kegagalan lampau.

Kelab dari utara London itu telah kehilangan 11 mata dalam lapan perlawanan liga sepanjang tahun 2026.

Jelas berang dengan kegagalan menamatkan cabaran Wolves yang hanya mencatat satu kemenangan dalam 27 perlawanan liga musim ini, Arteta sukar mengawal emosinya.

“Sangat sukar untuk diterima. Pada separuh masa kedua, kami tidak beraksi seperti yang sepatutnya untuk memenangi perlawanan. Benda basic yang perlu kami lakukan, kami melakukannya dengan sangat buruk, satu demi satu. Akibatnya, kami hilang dominasi dan kawalan permainan.

“Lebih baik tidak menilainya sekarang. Kami semua terlalu emosional. Kami perlu terima kesannya kerana kami memang layak menerimanya. Dalam keadaan emosi, mudah untuk mengatakan sesuatu yang boleh menjejaskan pasukan. Semua orang mahu melakukan yang terbaik,” katanya lagi.

Arsenal kelihatan semakin gugup ketika masa semakin suntuk menentang Wolves, satu petanda jelas bahawa pendahulu liga itu sedang merasai tekanan dalam usaha memburu gelaran pertama sejak 2004.

Kini mereka perlu bangkit segera menjelang aksi derbi utara London menentang Tottenham Hotspur pada Ahad, sebelum berdepan perlawanan penting di laman sendiri menentang Chelsea pada 1 Mac.

“Anda perlu melalui tempoh sukar. Hari ini, pada saat akhir, kami membayar harganya. Kami perlu memperbaiki perkara asas dengan lebih baik daripada apa yang kami lakukan,” kata Arteta.

Kekecewaan Arsenal memuncak sejurus wisel penamat apabila Raya dan Gabriel bertikam lidah, manakala penyerang Gabriel Jesus menolak pemain Wolves, Yerson Mosquera, sehingga terjatuh.

Ditanya bagaimana beliau mahu mengelakkan pemainnya daripada tertekan ketika tekanan semakin memuncak, Arteta berkata:

“Dengan sentiasa bersama mereka dan mengingatkan betapa bagusnya mereka. Dalam saat sukar, kami perlu bangkit. Kami perlu tunjukkan betapa kami mahukannya dan betapa bagusnya kami.”

RELATED ARTICLES

Most Popular