Masih ada ruang untuk Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Perlis (PFA) kembali bernyawa apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersedia meneliti semula isu penggantungan yang dihadapi kedua-dua persatuan itu.
Kedua-dua persatuan itu sehingga kini berdepan situasi ‘digantung tak bertali’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan masing-masing mendakwa keputusan menggantung mereka bermotifkan politik dan ketidakselarasan tadbir urus di badan induk itu.
Mereka kini ibarat mendapat talian hayat apabila AFC mengambil maklum perkara tersebut.
“Kami akan melihat semua perkara sebagai sebahagian daripada semakan kami, tetapi buat masa ini saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai penggantungan kedua-dua FA ini. Sudah tentu, saya bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John seperti dilaporkan TimeSport.
Kalaupun tidak membatalkan penggantungan, KAFA dan PFA berharap setidak-tidaknya pembangunan bolasepak negeri tidak mati melalui pertimbangan AFC.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata Kelantan dihalang daripada menghadiri kongres pemilihan FAM tahun lalu dan kemudiannya dikecualikan daripada kursus kejurulatihan, liga remaja serta Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selama hampir setahun.
“Tindakan menggantung kita itu, pertama sekali, tidak betul. Pada pandangan saya, ia lebih kepada tidak mahu Kelantan terlibat dalam kongres. Jika hanya tidak mahu Kelantan dalam kongres, tiada masalah. Tetapi mengapa sekat pembangunan? Bola mesti terus hidup … ini untuk rakyat, untuk rakyat Malaysia.
“Program pembangunan telah mati sepenuhnya. Kami tidak boleh menganjurkan kejohanan, tidak boleh menyertai liga remaja, malah tidak boleh mengendalikan kursus kejurulatihan.”
Sementara itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim, mempersoalkan mengapa kelab-kelab yang berpangkalan di Perlis masih dibenarkan bertanding, sedangkan persatuan negeri itu digantung dan kemudiannya disingkirkan.
“Bagaimana persatuan boleh digantung atau dipecat, tetapi kelab masih boleh menyertai pertandingan FAM? Di mana peruntukan yang menyatakan perkara itu dibenarkan?” kata Zamri, merujuk kepada Perlis GSA FC yang beraksi dalam Liga Semi-Pro A1.
Isu ini bermula sejak penghujung 2024, apabila FAM menggantung PFA berhubung ketidakaturan kewangan dan KAFA atas isu berkaitan pemilihan, dengan Perlis kemudiannya disingkirkan pada 2025 susulan arahan FIFA.



