HomeSukan"Hampir Pasti Tiada Peluang Buat Arif Aiman" - Peter Cklamovski

“Hampir Pasti Tiada Peluang Buat Arif Aiman” – Peter Cklamovski

Setelah begitu lama berdiam diri mengenai persiapan Harimau Malaya bagi aksi penting menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 March depan, Peter Cklamovski hadir dengan beberapa perkembangan terkini – khabar duka dan khabar gembira buat penyokong bolasepak tanah air.

Perkhabaran menyedihkan, Cklamovski memberitahu, pemain sayap, Arif Aiman Hanapi hampir pasti tiada peluang untuk beraksi memandangkan pemain itu masih dalam fasa pemulihan dan tidak sempat untuk cergas sepenuhnya selepas menjalani pembedahan.

“Ya, saya tidak rasa dia dapat diturunkan, sangat tipis. Kita harapkan keajaiban, tapi saya ragu. Jika tanya saya, memang saya cenderung untuk mengatakan tidak buat Arif Aiman,” kata Cklamovski kepada wartawan TimeSport, Farah Azharie.

Untuk makluman, Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia empat kali berturut-turut, mengalami kecederaan harmstring ketika Malaysia menentang Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia pada November lalu.

Dia kemudiannya telah menjalani pembedahan bersama pakar ortopedik terkemuka, Lempainen Lasse di Finland pada Disember dan sehingga kini masih belum kembali turun padang menjalani latihan.

Arif Aiman telah menjadi salah seorang pemain paling berpengaruh buat Johor Darul Takzim sejak beberapa tahun kebelakangan, menjaringkan 61 gol dan melakukan 66 assists. Manakala bersama Harimau Malaya, dia menjaringkan lapan gol dalam 40 penampilan.

Dalam pada itu, perkembangan gembira pula, Cklamovski menyatakan dua pemain iaitu Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco berpotensi membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang Vietnam.

Menurut Cklamovski, proses permohonan pasport Malaysia bagi Bergson dan Gallifuoco berjalan lancar dan kedua-duanya hanya menunggu masa untuk bergelar pemain naturalisasi baru Harimau Malaya sebelum jendela antarabangsa FIFA pada 23 Mac.

“Bergson senjata berbahaya, dia akan bersedia untuk kem nanti. Saya sudah bercakap dengannya, dia begitu bersemangat mahu sertai pasukan dan lakukan sesuatu yang istimewa.

“Dalam lima tahun yang terakhir ini, dia telah membuktikan sentuhannya, menjaringkan gol di mana sahaja dia bermain. Di pentas domestik mahupun serantau, saya melihat dia sebagai senjata yang boleh kita manfaatkan dengan cara yang berkesan,” kata Cklamovski.

Untuk rekod, pemain dari Brazil berusia 35 tahun itu telah menjaringkan 176 gol untuk JDT sejak 2021, termasuk 32 gol pada 2025 dan 16 gol pada awal 2026, menjadikannya antara penyerang paling berbisa di Asia Tenggara.

Selain Bergson dan Gallifuoco, pengendali dari Australia itu memberitahu bahawa Malaysia akan disertai beberapa lagi pemain naturalisasi seperti Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez namun ianya tidak sempat berlaku sebelum perlawanan menentang Vietnam.

Hidalgo dijangka memperoleh pasport Malaysia pada bulan April, manakala Nacho Mendez pula dalam tempoh terdekat yang tidak dapat dipastikan memandangkan statusnya bukan naturalisasi, tetapi pemain warisan.

Mengenai tujuh pemain warisan yang berdepan kes CAS pula, Cklamovski memilih untuk menunggu sahaja keputusan penghakiman, sama ada mereka dibebaskan terus daripada penggantungan, serta sama ada mereka masih boleh menyarung jersi Malaysia.

RELATED ARTICLES

Most Popular