HomeSukanPalmero Berterus Terang Mengenai Perasaannya

Palmero Berterus Terang Mengenai Perasaannya

Pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero kekal tenang tatkala dia menantikan keputusan penting daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis ini, yang akan menjadi penentu masa depan karier bolasepaknya.

Hakikatnya, penghakiman daripada CAS nanti bukan sahaja akan menentukan nasib Palmero tetapi enam lagi pemain berdarah campuran yang didakwa memalsukan dokumen untuk membolehkan mereka mewakili skuad kebangsaan Malaysia.

“Saya hanya menunggu dan saya percaya semuanya akan baik-baik sahaja. Saya perlu kekal tenang dan menunggu keputusan. Saya hanya mahu bermain bola sepak. Segala perkara lain di luar kawalan saya,” ujarnya.

Namun, di sebalik ketenangan itu, apakah sebenarnya yang bermain di fikiran serta perasaan Gabriel Palmero? Adakah dia menyesal memilih menyarung jersi Harimau Malaya atas kapasiti pemain warisan yang membawanya kepada kontroversi dokumen palsu, penggantungan 12 bulan FIFA, dan berdepan saat paling sukar dalam perjalanan karier?

Palmero, bersama Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel, telah digantung oleh FIFA pada 25 September tahun lalu selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Keputusan itu mengakibatkan Palmero dilepaskan daripada kelab lamanya, CD Tenerife pada November. Hanya selepas diberikan penangguhan hukuman baru-baru ini, Palmero menyertai Kuching City dan setakat ini telah membuat tiga penampilan termasuk yang terbaru ketika menentang Selangor.

Palmero berkata walaupun dalam ketidakpastian tentang masa depan, perkara paling sukar adalah berjauhan daripada skuad kebangsaan.

“Saya sentiasa berhubung dengan pasukan. Baru-baru ini saya bercakap dengan Safawi (Rasid) dan Noaa (Laine). Saya rindu suasana di kem kebangsaan, persahabatan yang tercipta, dan semangat berpasukan. Pengalaman bersama pasukan sangat baik dan meninggalkan banyak kenangan manis.

“Itu pengalaman yang indah, dan saya berharap dapat mencipta lebih banyak kenangan yang bermakna,” katanya sambil memberitahu bahawa dia juga mengekalkan komunikasi dengan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

“Saya bercakap dengan jurulatih beberapa minggu lalu. Kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik. Beliau seorang yang baik dan sangat profesional,” katanya.

Selepas memperoleh kerakyatan Malaysia pada bulan Mei, Palmero telah membuat empat penampilan bersama Harimau Malaya iaitu dalam perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura, dan Palestin, serta perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam sebelum penggantungan FIFA dikenakan pada September.

Walaupun keputusan kini bergantung kepada CAS, Palmero tetap yakin bahawa memilih untuk mewakili Malaysia adalah keputusan yang tepat dan tiada sedikitpun penyesalan.

“Saya masih percaya ia adalah keputusan terbaik bagi saya untuk bermain untuk Malaysia. Saya sangat gembira dan bersyukur berada di sini. Saya mendapat sokongan daripada semua orang di sekeliling saya, dan mereka gembira melihat saya bermain bola sepak di sini dan terus berkembang.

“Negara ini telah memberikan saya segala yang terbaik, dan saya akan sentiasa gembira berada di sini. Tetapi mari kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular