HomeSukanKesilapan Berprofil Tinggi Nazmi dan Team VAR Ditegur

Kesilapan Berprofil Tinggi Nazmi dan Team VAR Ditegur

Kualiti pengadilan buruk Liga Malaysia terus menjadi bahan bualan, malah menjadi bahan jenaka dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air. Bak kata pengulas Astro Arena, Keeshanan Sundaresan, “liga ini bukan sukan, ia adalah rancangan komedi mingguan”.

Terbaru, insiden ketika perlawanan antara Selangor dan Kuching City, di mana pengadil Nazmi Nasaruddin ‘buat tak nampak’ kekasaran jelas yang berlaku di depan mata.

Ketika perlawanan menuju minit akhir, penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli melakukan foul ke atas pemain Selangor di depan mata Nazmi.

Haziq pada mulanya menjatuhkan Chrigor Moraes di dalam kotak penalti namun ia tidak dilihat sebagai foul kerana dia berjaya mendapatkan bola. Namun menyusul selepas itu, kekasaran ke atas Jose Rodriguez yang seharusnya menyaksikan Haziq menerima layangan kad merah.

VAR juga tidak masuk campur untuk menyemak semula insiden itu sebaliknya perlawanan diteruskan seperti tiada apa yang berlaku, yang sekadar membuktikan betapa rosaknya mutu pengadilan Liga M.

Ia secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi hingga ada yang mempersoalkan kredibiliti Nazmi yang disifatkan pengadil terbaik dalam negara, tetapi sudah beberapa kali melakukan kesilapan berprofil tinggi.

Insiden ini turut menarik perhatian bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh yang menjelaskan ia sememangnya kesalahan yang perlu dihukum dengan kad merah buat Haziq serta sepakan percuma buat Selangor.

“Penjaga gol memainkan bola dengan baik pada cabaran pertama dengan pemain serangan dan beliau berjaya mendapatkan bola dengan tangan. Jadi sentuhan seterusnya adalah sentuhan normal dalam bola sepak.

“Insiden kedua adalah kesalahan menjatuhkan lawan secara cuai oleh penjaga gol dan itu adalah kesalahan menafikan peluang untuk mendapatkan gol yang ketara (DOGSO) walaupun ada seorang pertahanan dalam kawasan penalti.

“Penjaga gol seharusnya dilayangkan kad merah dan permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma terus,” kata Subkhiddin dipetik dari BH Sukan.

Di sebalik kontroversi itu, Selangor boleh menarik nafas lega apabila tetap berjaya meraih tiga mata menerusi kemenangan 1-0 dan mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super.

RELATED ARTICLES

Most Popular