HomeSukan"Kena Ada Muka Lama, Tidak Boleh Sepenuhnya Muka Baru"

“Kena Ada Muka Lama, Tidak Boleh Sepenuhnya Muka Baru”

Pembentukan semula barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh sepenuhnya bersandarkan kepada muka-muka baru, sebaliknya perlu ada gabungan orang lama untuk menerajui badan induk itu.

Ia adalah langkah paling realistik jika mahu menstabilkan semula hala tuju bolasepak tanah air apatah lagi ketika ini tiadanya nakhoda untuk memberi tunjuk ajar selepas kesemua Exco FAM meletakkan jawatan pada bulan lalu.

Demikian pandangan disuarakan pemerhati bolasepak terkenal, Prof Madya Dr. Zulakbal Abdul Karim. Menurutnya, kepimpinan baharu bukan sahaja perlu segar daripada segi idea, malah turut memerlukan pengalaman dalam memastikan kesinambungan dasar tidak terputus.

Ujarnya, kehadiran muka baharu mampu membawa nafas baharu serta idea segar tetapi peranan muka lama pula penting untuk memastikan segala perancangan tidak lari daripada landasan serta realiti semasa bola sepak negara.

“Saya percaya FAM kini berada dalam keadaan yang sukar dan perlu membina semula imej, keyakinan dan kebolehan mereka. Oleh kerana itu, akan ada tampuk kepimpinan baru, di mana orang baru mereka akan ada lebih banyak tenaga, visi dan cara kerja baru tetapi mereka kurang pengalaman.

“Sepak terajang dalam bola sepak negara bukan senang, jadi orang lama yang sudah ada pengalaman, sudah ada ilmu dan memiliki hubungan baik dengan FIFA dan AFC, penting untuk membimbing generasi baru yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan itu satu hari nanti,” kata Zulakbar kepada Astro Arena.

FAM ketika ini dikendalikan sementara oleh Sekretariat yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman dengan dibantu oleh Pasukan Petugas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sedang membuat penilaian dan bedah siasat berhubung kelemahan tadbir urus badan induk itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular