HomeSukanAzizulhasni Raih Emas Piala Dunia Keirin, Kejutkan No.1 Dunia

Azizulhasni Raih Emas Piala Dunia Keirin, Kejutkan No.1 Dunia

Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang melakar kejutan besar apabila menewaskan pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson, untuk memenangi pingat emas acara keirin pada pusingan pembukaan siri UCI Track World Cup di Perth pada Ahad.

Dalam aksi final di Velodrom Perth SpeedDome, Azizulhasni yang bermula di belakang bijak menyusun strategi dengan mengekori rapat Richardson dan menunggu masa tepat sebelum melakukan pecutan emasnya.

Seperti dijangka, Richardson melakukan pecutan terlebih dahulu, tetapi Azizulhasni, yang berusia 38 tahun menggunakan pengalaman untuk menukar keadaan dengan memintas pada saat-saat akhir.

Pemenang terpaksa ditentukan melalui semakan foto sebelum pelumba kelahiran Terengganu itu didapati terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan beza hanya 0.002 saat.

Richardson sebelum itu dilihat sebagai pilihan utama untuk menang selepas memasuki perlumbaan akhir dengan rekod tanpa kalah.

Berbeza buat Azizulhasni, beliau terpaksa menempuh laluan lebih sukar apabila menamatkan saingan di tempat ketiga pada pusingan pertama sebelum mara ke separuh akhir menerusi kemenangan dalam perlumbaan repechage.

Dalam saringan separuh akhir pertama, Azizul menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pelumba Germany, Maximilian Dornbach, sekali gus melayakkan diri ke perlumbaan akhir utama.

Untuk rekod, Azizulhasni hanya kembali ke trek pada Oktober tahun lalu selepas bercuti panjang selama setahun susulan kekecewaan yang dialaminya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas itu, Azizul dipujuk oleh beberapa pihak untuk menarik balik keputusan bersara bagi memberinya peluang sekali lagi untuk kekal bersaing sekurang-kurangnya setahun lagi.

Dalam pada itu, harapan untuk melihat wakil pecut individu wanita turut meraih podium tidak kesampaian apabila dua pelumba negara, Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid terkandas di pusingan kedua.

Izzah Izzati terpaksa akur kalah kepada juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews manakala Alyssa disingkirkan pelumba China, Yuan Liying yang kemudian muncul juara selepas menewaskan Andrews pada aksi final.

RELATED ARTICLES

Most Popular