Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim membidas bekas pengurus Harimau Malaya, Dato’ Kamarul Ariffin Mohd Shahar kerana bertanyakan mengenai persiapan pasukan kebangsaan menjelang aksi berdepan Vietnam hujung bulan ini.
Kamarul Ariffin dalam satu temubual bersama Astro Arena, melontarkan persoalan apa perancangan daripada pengurusan pasukan kebangsaan diketuai Rob Friend serta ketua jurulatih Peter Cklamovski untuk menghadapi perlawanan penting itu.
Apatah lagi selepas keluarnya keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) yang mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas pemain warisan palsu baru-baru ini. Malaysia sedang mengungguli Kumpulan F dengan 15 mata tetapi berpotensi kehilangan enam mata sekiranya keputusan dua perlawanan menentang Nepal dan Vietnam dibatalkan AFC.
Menurut Kamarul: “Saya tidak nampak satu penggerakan pun daripada CEO bertaraf dunia, Rob Friend, untuk menghadapi perlawanan ini. Peminat tertunggu-tunggu tentang persiapan pasukan.
“Perlawanan wajib diadakan tetapi tiada sebarang persiapan yang didengari lagi. Kita juga ingin tahu adakah khidmat CEO dikekalkan, hala tuju Cklamovski serta bola sepak kebangsaan.”
Tetapi bukan FAM atau pengurusan Harimau Malaya yang membalas pertanyaan itu, sebaliknya ia adalah Tunku Ismail yang menegur Kamarul Ariffin.
“Dia ni (Kamarul) masih ada? Bukan dulu tinggalkan FAM pasal syarikat tak dapat projek ke? Baru-baru ni ada juga minta projek di Johor. Tapi tak dilayan. Betul Dato Kamarul? Cukup-cukuplah guna Piang Ultras Malaya, Dato’ Yusoff (Mahadi) dan beberapa orang dalam FAM secara diam pumpang sini sana melagakan orang kerana kecewa tak dapat penuhkan kocek sendiri Dato’ Kamarul,” tulis Tunku Ismail di aplikasi X beliau.
Untuk rekod, Kamarul Ariffin memegang peranan sebagai penolong pengurus Harimau Malaya sekitar tahun 2022 hingga 2024 tetapi media seringkali merujuk jawatannya sebagai pengurus pasukan.
Beliau melepaskan jawatannya dalam pengurusan skuad kebangsaan selepas berakhir kempen Piala Asia 2023 (pada Januari 2024).



