“Bukan ini keputusan yang kami jangkakan.”
Jurulatih Vélez Sarsfield, Guillermo Barros Schelotto, mendedahkan bahawa kelab itu terkejut dengan penggantungan 12 bulan yang dikekalkan ke atas pemain sayapmereka, Imanol Machuca. Schelotto berkata mereka menjangkakan hukuman ke atas pemain tersebut akan dibatalkan dan dia boleh kembali bermain seperti biasa.
“Apa yang berlaku dengan Machuca (penggantungan) adalah di luar jangkaan kami. Kami fikir dia mendapat kebenaran untuk bermain bagi keseluruhan musim dan seterusnya hukuman akan dibatalkan, kerana dia sangat positif sebelum ini.”
“Sayang sekali kami tidak dapat menggunakan khidmatnya. Kami akan menilai apa yang terbaik untuknya dan juga untuk kelab, tetapi kami tetap berminat untuk mengekalkannya di dalam pasukan pada masa depan,” kata Schelotto kepada media Argentina.
Meskipun terdapat kekosongan dalam skuad, Schelotto menegaskan bahawa Vélez tidak akan membawa masuk pemain pengganti.
“Kami tidak akan menandatangani pengganti … kami akan mengisi posisi tersebut dengan pemain sedia ada dalam skuad atau menaikkan pemain muda,” tambahnya
Laporan dari Argentina menyatakan Velez Sarsfield merancang untuk mengaktifkan klausa penamatan secara unilateral dalam perjanjian pinjaman Machuca daripada kelab Brazil, Fortaleza Esporte Clube, pada Jun ini.
Vélez akan terus membayar gaji pemain itu sehingga pertengahan tahun sambil membenarkannya menjalani latihan, sebelum dia kembali ke Brazil untuk menjalani penggantungan sehingga November.
Tindakan tegas terhadap Machuca ini mencerminkan realiti pahit yang sedang melanda kancah bola sepak Malaysia.
Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) baru-baru ini mengekalkan hukuman dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan palsu berikutan pemalsuan dokumen kewarnegaraan.
Untuk rekod, Machuca yang berusia 26 tahun beraksi satu perlawanan sahaja bersama Harimau Malaya ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027. Itupun selama 17 minit setelah dimasukkan sebagai pemain gantian dan selepas itu terlepas panggilan ke kem kebangsaan atas pelbagai sebab.



