Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski, berkata beliau boleh sahaja memilih untuk meletak jawatan apabila tujuh pemain yang mengaku berdarah kacukan disiasat dan dikenakan tindakan tatatertib oleh FIFA tahun lalu berhubung isu pemalsuan dokumen kelayakan.
Kes tersebut yang dicabar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) akhirnya diputuskan apabila hukuman penggantungan 12 bulan dikenakan ke atas semua tujuh pemain dikekalkan, dan rayuan FAM untuk mengurangkan jumlah denda juga ditolak.
Ketika ditanya sama ada keputusan itu menjejaskan persiapan Harimau Malaya untuk berdepan Vietnam, ataupun memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ketua jurulatih, ini jawapan Cklamovski dipetik dari The Star.
“Saya komited kepada pemain dan negara ini. Saya boleh sahaja angkat kaki enam atau 12 bulan lalu (ketika timbul kontroversi pemain warisan), tetapi saya datang ke sini untuk melayakkan Malaysia ke Piala Asia dan harapan saya, ke Piala Dunia. Impian itu masih membara dalam diri saya.”
“Perkara lain hanyalah gangguan kecil. Saya memilih untuk terus optimis. Matlamat kami adalah untuk menyelesaikan tugas pada Mac ini dan membawa negara ini ke Piala Asia. Jika senario terburuk berlaku, itu hanyalah rintangan kecil dalam perjalanan yang lebih besar. Sekarang, kami berada di landasan untuk melakukan sesuatu yang istimewa,” ujarnya.
Meskipun keadaan dilihat cacamarba dengan FAM kehilangan pemimpin, skuad negara kehilangan tujuh pemain warisan, malah berkemungkinan besar akan ditolak pula enam mata oleh AFC, Cklamovski menekankan fokusnya hanya kepada perkara yang mampu dikawal.
“Menjadi jurulatih kebangsaan adalah satu penghormatan, tetapi ia mempunyai cabaran yang unik. Saya datang dengan perancangan besar kerana minat mendalam penyokong di sini sangat luar biasa.
“Saya belajar bahawa hanya ada beberapa perkara di luar padang yang mampu saya kawal. Jadi, saya akan fokus sepenuhnya kepada cara kami bermain, berlatih dan berdisiplin. Jika kami terus memberikan keputusan positif, saya harap ia akan memberi inspirasi kepada pembangunan bola sepak secara keseluruhan.”
Malaysia ketika ini sedang menerajui Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, setelah menang kesemua lima perlawanan. Begitupun dengan keputusan CAS telah diketahui, terdapat kemungkinan Jawatankuasa Tatatertib AFC akan membatalkan dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam, sekaligus menyaksikan peluang ke Piala Asia cukup tipis walaupun menang aksi terakhir ke atas Vietnam pada 31 Mac depan.
Ini kerana sekiranya ditolak enam mata, Malaysia akan jatuh ke tangga kedua, dan tercicir enam mata di belakang Vietnam.



