Bekas pemain ragbi terkemuka dunia, Sonny Bill Williams tampil mempertahankan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang menjadi sasaran kritikan penyokong bolasepak tanah air sejak kebelakangan ini.
Lagenda All Black itu yang pernah memenangi Piala Dunia Ragbi dua kali, berkata adalah menjadi kebiasaan banyak mulut berbunyi apabila seseorang itu berterusan mencapai kejayaan demi kejayaan.
“Apa yang telah dibina di JDT di bawah pimpinan Tunku Ismail adalah bukti nyata. Saya boleh katakan dengan sejujurnya, kasih sayang yang baginda miliki serta keinginan baginda untuk melihat rakyatnya maju adalah perkara yang sentiasa kami sembang setiap hari.
“Untuk menjadi salah seorang duta sukan kepada negeri ini (Johor) adalah satu penghormatan. Kerja keras Dato’ Onn untuk Johor di bawah visi Tunku Ismail adalah cukup luar biasa dan saya sentiasa terinspirasi dengan baginda setiap kali meninggalkan bumi Malaysia.
“Fakta tak pernah menipu, dan hakikatnya mudah sahaja – bila kau bermula dari kosong dan menjadi antara pasukan paling berjaya di Asia Tenggara, memang akan ada kecaman dan bunyi-bunyi sumbang. Teruskan melangkah saudaraku,” tulis Sonny di IG Storynya.
Untuk rekod, Sonny dilantik sebagai Duta Sukan Johor pada tahun lepas, bertujuan untuk memperkasakan pembangunan sukan di Johor, memupuk budaya sukan yang cemerlang, serta memberi inspirasi kepada atlet muda melalui klinik sukan dan program mentor.
Terdahulu, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT diminta bertanggungjawab atas kemelut pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang rayuan mereka ditolak Mahkamah Timbangtara Sukan. Beliau bagaimanapun menyatakan sedia dibawa ke mahkamah jika ada yang dapat membuktikan penglibatannya dalam isu tersebut.
Kemudian timbul pula dakwaan menyatakan sebahagian besar pendapatan dan penajaan pasukan bolasepak JDT adalah daripada dana awam dan juga kerajaan. Namun ia telahpun dinafikan oleh JDT sendiri serta Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.



