HomeSukanCklamovski Tabik Kebangkitan Faisal Halim

Cklamovski Tabik Kebangkitan Faisal Halim

Ketua jurulatih skuad bolasepak kebangsaan, Peter Cklamovski tidak mahu terus meratapi kehilangan tujuh pemain ‘warisan palsu’ menjelang aksi genting menentang Vietnam pada 31 Mac depan.

Meskipun Harimau Malaya bakal kelihatan tempang memandangkan tujuh pemain itu menjadi watak penting ketika menang 4-0 ke atas Vietnam pada tahun lalu sekaligus menamatkan badi 11 tahun, Cklamovski yakin tetap dapat mempertaruhkan skuad terbaik.

“Kami mahu senaraikan skuad terkuat yang ada. Saya sedang memantau rapat semua pemain, kumpul data dan maklumat untuk buat keputusan yang paling tepat. Saya mencari pemain yang cergas, ada semangat juang, dan kualiti permainan yang tinggi,” kata Cklamovski.

Cklamovski tidak berselindung menyatakan Faisal Halim dan Safawi Rasid adalah contoh pemain yang sedang benar-benar memukau dan berada pada tahap terbaik prestasi masing-masing ketika ini.

“Lihat saja Faisal Halim – perkembangan dia dalam tempoh 12 bulan ini cukup luar biasa dan menakjubkan. Masa awal-awal saya sampai ke Malaysia, dia tak dapat banyak minit permainan. Sekarang, dia tengah terbang tinggi.

“Dia beritahu saya setahun lepas yang dia mahu jadi kisah inspirasi buat negara, dan itulah yang dia sedang lakukan sekarang. Dia bermain untuk dirinya, untuk anak-anak muda, dan untuk generasi akan datang. Itu membuatkan saya rasa sangat kagum, terinspirasi dan tabik mentaliti dia.”

“Safawi pula, membuktikan dia antara penyerang tempatan terbaik ketika ini. Kualiti penyudah dia bukan hanya pada kaki, tetapi juga kepala. Saya lihat dia jaringkan dua gol melalui tandukan baru-baru ini, ia kejutan yang menarik. Saya yakin dia sendiri terkejut,” ujarnya.

Pengendali dari Australia itu turut berharap urusan dokumentasi naturalisasi penyerang JDT, Bergson da Silva, dan pertahanan tengah Kuala Lumpur, Giancarlo Gallifuoco — akan selesai tepat pada masanya.

“Kalau mereka boleh beraksi, saya harap mereka dapat beri nilai tambah. Mereka ada mentaliti yang betul, utamakan pasukan bukan diri sendiri serta semangat yang tulen untuk negara,” tambahnya.

Malaysia ketika ini sedang menerajui Kumpulan F dengan 15 mata dan kemenangan dalam aksi terakhir nanti bakal menyaksikan mereka muncul juara kumpulan dan layak ke Piala Asia 2027.

Namun kedudukan akhir masih tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mungkin membatalkan dua kemenangan pusingan pertama ke atas Nepal dan Vietnam kerana menurunkan tujuh pemain warisan palsu.

“Menjadi jurulatih kebangsaan adalah satu penghormatan, tapi ia datang dengan cabaran yang unik. Saya datang ke sini dengan perancangan besar kerana minat mendalam (penyokong) di sini sangat luar biasa. Saya belajar bahawa ada banyak perkara di luar padang yang saya tak boleh kawal.

“Jadi, saya akan tumpu sepenuhnya kepada cara kita bermain, cara kita berlatih, dan bagaimana kita membawa diri. Jika kita terus bagi keputusan yang bagus, saya harap ia dapat memberi inspirasi untuk pasukan ini terus berkembang.”

RELATED ARTICLES

Most Popular