Sehingga semalam, media menulis “Malaysia ketika ini sedang menerajui Kumpulan F dengan 15 mata selepas melakar rekod bersih menang semua perlawanan.” Selama empat bulan ayat tersebut digunakan.
Seri menentang Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan 31 Mac depan sepatutnya sudah memadai untuk memacu Malaysia mara secara merit buat kali kedua berturut-turut ke saingan Piala Asia. Namun, segalanya diragut sekelip mata.
Keputusan AFC membatalkan dua kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal, menyaksikan Harimau Malaya hilang enam mata, diisytihar tewas kedua-dua perlawanan 3-0 seterusnya meleburkan impian untuk menjejak kaki ke Arab Saudi tahun depan.
Perlawanan menentang Vietnam yang dikatakan akan menjadi penentu kini sudah tidak bermakna apa-apa. Tinggal hanya maruah sahaja untuk diperjuangkan apabila kedua-dua pasukan bertemu nanti.
“Ini mungkin titik paling rendah skuad negara dalam sejarah 100 tahun FAM, selepas skandal rasuah Liga-M pada tahun 1990-an. FAM didapati menipu dan telah dihukum, penyokong marah dengan semua yang terlibat dalam skandal ini,” kata pengkritik bolasepak terkenal, Dr. Zulakbal Abdul Karim.
“Ini mungkin ujian watak terbesar buat para pemain. Mereka tidak bersalah atas apa yang berlaku, tetapi mereka tetap akan membawa stigma (nama buruk) daripada skandal tersebut.
“Apa sekalipun, Harimau Malaya perlu bangkit sekarang… pemain perlu bermain demi maruah negara. Segalanya tidak memihak mereka, jadi mereka perlu ke depan dan cuba menamatkan kempen ini dengan penuh maruah.
“”Saya percaya Vietnam akan menunggu di laman sendiri untuk menghukum Malaysia dengan kemenangan besar. Tetapi ambil ini sebagai peluang untuk menunjukkan kemampuan sebenar mereka… persembahan yang baik dalam perlawanan ini boleh memulihkan sedikit moral yang terjejas,” tambahnya.
Zulakbal berkata episod ini harus menjadi pengajaran buat FAM dan sesiapa sahaja yang terlibat bersama pasukan kebangsaan.
“Kita boleh menang perlawanan menentang Nepal tanpa sebarang pemain warisan… ia adalah satu kesilapan perkiraan oleh pasukan kebangsaan dan sekarang kita tersingkir daripada Piala Asia.
“Segalanya sudah berakhir buat kita, tetapi ini harus menjadi pengajaran supaya tidak mengambil jalan pintas. Saya hanya mampu berharap pada masa depan, integriti akan menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia.”



