HomeSukanRob Friend dan Cklamovski Diminta Berundur Secara Terhormat

Rob Friend dan Cklamovski Diminta Berundur Secara Terhormat

Peter Cklamovski bersama-sama barisan kejurulatihan serta seluruh pasukan pengurusan bolasepak kebangsaan (Malaysia NT) diketuai Rob Friend diminta melepaskan jawatan dengan sukarela.

Penganalisis dan pengkritik bolasepak, Zakaria Rahim berkata tiada keperluan untuk mengekalkan khidmat kesemua mereka yang sudah tidak relevan dalam ekosistem bolasepak tanah air terutama dari aspek kos.

Justeru, beliau meminta masing-masing angkat kaki secara terhormat selepas perlawanan menentang Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 (yang mana Malaysia sudahpun sah tersingkir) pada hujung bulan ini.

“Pada saya mereka sudah tidak relevan kerana keberadaan mereka dalam Malaysia NT adalah daripada bajet RM15 juta yang diterima pasukan kebangsaan. Bajet itu sudah tidak akan ditambah walaupun pada awalnya dijanjikan oleh kerajaan sebanyak RM30 juta secara total. Saya tidak yakin bajet itu akan diteruskan selepas ini.

“Tambahan pula, sudah tidak ada lagi kejohanan besar akan berlaku sehingga ke kelayakan Piala Dunia yang akan datang. Kalau setakat Piala ASEAN, kita tidak perlukan satu pasukan kejurulatihan yang mahal sebegitu. Cukup dengan jurulatih yang boleh membentuk semula pasukan negara dan mengutamakan pemain tempatan.

“Jadi saya rasa mereka perlu meninggalkan pasukan kebangsaan secara sukarela tanpa dipecat. Jika tidak, kita akan buat tuntutan untuk mereka meletakkan jawatan,” ujar Zakaria yang juga bekas pengurus Selangor kepada Astro Arena.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Selasa membatalkan kemenangan Malaysia ke atas Nepal dan Vietnam dalam dua aksi pertama pusingan kelayakan pada tahun lalu, kerana kesalahan menurunkan pemain yang tidak berkelayakan.

Malaysia diisytihar kalah 0-3 kedua-dua perlawanan tersebut tatkala penghakiman FIFA mahupun Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) juga mengesahkan dakwaan pemalsuan dokumen terhadap tujuh pemain warisan adalah benar.

Bagi Zakaria, apa yang perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini adalah sedar dengan kesilapan yang berlaku, bukan terus menegakkan benang yang basah sekiranya mereka berhasrat untuk meneruskan rayuan.

“Bagi saya, jika FAM ada hasrat untuk membawa kes ini ke peringkat rayuan, itu hak mereka tetapi sudah-sudahlah, kita ‘move-on’. Apa yang berlaku sekarang, secara keseluruhannya bola sepak Malaysia sudah kehilangan kepercayaan, baik daripada penyokong bola sepak Malaysia, rakyat Malaysia, bahkan peminat bola sepak di seluruh rantau ASEAN dan Asia, dan mungkin seluruh dunia juga tahu mengenai isu ini.

“Adalah lebih baik untuk kita perbaiki dan bangkit membentuk pasukan yang lebih baik dan FAM perlu memiliki satu pasukan kejurulatihan yang benar-benar mahu berkhidmat buat negara,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular