HomeSukan"Kenakan Hukuman Keras Terhadap Ejen dan Pegawai Terlibat"

“Kenakan Hukuman Keras Terhadap Ejen dan Pegawai Terlibat”

Jurulatih berpengalaman luas, Datuk M.Karathu mahu hukuman berat dikenakan ke atas ejen dan pegawai-pegawai yang terlibat membawa pemain warisan palsu ke dalam kancah bolasepak Malaysia.

Tegasnya dalam laporan disiarkan TheStar, imej dan reputasi Malaysia rosak teruk di pentas antarabangsa, sehingga digelar penipu dan negara tiada integriti gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab tersebut malah menjadi bahan jenaka seluruh dunia.

“Ejen yang membawa pemain-pemain ini harus digantung kerana menipu kelab serta mencemarkan sukan bola sepak. Besar kemungkinan pihak FAM mengetahui siapa individu-individu terlibat, walaupun mereka telah pun meletakkan jawatan beramai-ramai. Jawatankuasa baharu perlu membuat keputusan tegas agar perkara seperti ini tidak berulang.

“Saya mencadangkan hukuman tegas termasuk pengharaman sepenuhnya daripada sukan ini serta larangan memasuki stadium. Langkah ini juga perlu dikenakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab. Kita perlu menampilkan imej yang bersih dan ia memerlukan penguatkuasaan yang benar-benar tegas,” kata Karathu yang pernah mengendalikan skuad B-21 kebangsaan pada tahun 1991.

Karathu yang pernah membimbing pasukan kebangsaan Sri Lanka turut mengkritik kepimpinan FAM terdahulu yang didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya.

“Pegawai FAM mengetahui apa yang berlaku, dan amat memalukan apabila mereka memilih untuk menutup sebelah mata. Akibat pengurusan seperti ini, keyakinan penyokong semakin merosot. Hari ini, bola sepak Malaysia tidak lagi menarik kehadiran penonton seperti dahulu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Karathu berpendapat adanya keperluan isu yang cukup sensasi dan disifatkan titik terendah dalam sejarah bolasepak negara ini disiasat sekiranya ada wujud unsur rasuah.

Beliau menjadikan skandal mengatur perlawanan pada era 1990-an sebagai contoh bagaimana sukan itu pernah mengambil langkah drastik untuk memulihkan reputasinya.

“Kita tidak mengetahui secara tepat sama ada wujud unsur rasuah. Namun jika benar berlaku, perkara ini mesti dihentikan segera. Sebelum ini, pemain yang terlibat dengan rasuah dikenakan larangan serta dihalang memasuki stadium bagi mengelakkan mereka mempengaruhi pihak lain.

“Jadi, tahap ketegasan yang sama perlu dikenakan terhadap ejen dan pegawai sekiranya mereka didapati bersalah,” tambah beliau lagi.

Walaupun berdepan cabaran, Karathu percaya keadaan masih boleh diperbetulkan sekiranya tindakan segera diambil.

“Ini adalah pengajaran penting buat bola sepak Malaysia. Jika kita bertindak sekarang, kita mampu kembali ke landasan dalam tempoh lima tahun. Penipuan hanya akan melemahkan pasukan. Kita mesti memperbetulkan keadaan ini demi menyelamatkan sukan ini.”

RELATED ARTICLES

Most Popular