Bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei percaya pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia sedang bergelut dengan masalah keyakinan diri yang menghalangnya kembali ke prestasi terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia itu berkata, selain kecederaan yang masih berlarutan, faktor mental turut memainkan peranan besar dalam prestasi hambar Zii Jia ketika beraksi di Eropah baru-baru ini.
“Saya tidak mengetahui sepenuhnya tahap kecederaan yang dialaminya, namun saya merasakan kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya. Saya telah melihatnya beraksi, tetapi keyakinannya sudah hilang. Dia kelihatan ragu-ragu, tidak tahu apa yang ingin dilakukannya di gelanggang.
“Keyakinan sangat penting bagi seseorang pemain. Mungkin kerana dia telah lama berehat akibat kecederaan dan masih belum mendapatkan semula sentuhan permainan, ditambah dengan kekalahan demi kekalahan, keyakinannya semakin merosot,” kata Chong Wei kepada NST Sports.
Chong Wei, pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali, berkata situasi itu bukan sesuatu yang pelik bagi seorang atlet dan beliau sendiri pernah melalui fasa yang sama sepanjang kariernya.
“Sebagai seorang atlet, saya faham perkara ini. Dia hanya memerlukan satu kemenangan, sama ada dalam kejohanan kecil atau besar, untuk mengembalikan keyakinannya,” katanya.
Tahun lalu, Lee Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-86 dunia, hanya beraksi dalam lima kejohanan selepas mengalami kecederaan buku lali dan belakang.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu kembali beraksi di Terbuka Malaysia pada Januari, namun masih belum menemui rentaknya. Dia tersingkir awal dalam Terbuka Switzerland dan gagal melayakkan diri ke undian utama Orleans Masters di Perancis.
Keputusan terbaiknya musim ini adalah mara ke suku akhir Kejohanan Thailand Masters pada Januari, sebelum menarik diri pada set ketiga menentang pemain Indonesia, Alwi Farhan akibat kecederaan.
Tambah Chong Wei lagi, beliau dimaklumkan mengenai keadaan fizikal Zii Jia dalam satu pertemuan bulan lalu dan mengakui pemain itu masih belum berada pada tahap 100 peratus.
“Saya juga melihatnya bermain di Switzerland, dan pergerakannya tidak begitu lancar,” katanya.
Chong Wei turut menegaskan bahawa Akademi Badminton Malaysia sentiasa terbuka untuk membantu Zii Jia, termasuk menyediakan kemudahan latihan dan bimbingan pakar menjelang Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.
Beliau berkata perbincangan lanjut akan diadakan bersama pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen serta ketua jurulatih perseorangan lelaki, Tey Seu Bock bagi mencari pendekatan terbaik untuk membantu Zii Jia bangkit semula.
“Saya telah berbincang dengan Zii Jia dan pasukannya, termasuk jurulatihnya Liew Daren, dan kami terbuka untuk dia kembali berlatih bersama BAM. Namun, keputusan terletak di tangannya kerana kami tidak boleh memaksa, tetapi yang penting kami mahu membantu.
“Walaupun dia pemain profesional, dia tetap mewakili Malaysia dalam kejohanan berpasukan dan menyarung jersi Jalur Gemilang.
“Kita semua satu pasukan. Apa sahaja kemudahan yang kami ada, dia boleh gunakan. Tiada masalah. Bila-bila masa dia mahu berlatih atau menggunakan fasiliti BAM, kami sentiasa mengalu-alukannya,” tambah Chong Wei.



