Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menjawab soalan dibangkitkan penyokong mengapa pemain tengah serba boleh, Nacho Mendez tidak mendapat call-up di sebalik menyerlah sebagai salah seorang tonggak penting JDT musim ini.
Cklamovski dalam senarai panggilan terbaru skuad 28 pemain Harimau Malaya, menyenaraikan seramai enam pemain tengah namun nama Nacho Mendez yang didaftarkan sebagai pemain tempatan atas kapasiti pemain warisan sekali lagi hilang.
Ini menyebabkan pelbagai andaian dibuat penyokong dan pemerhati bolasepak tanah air, malah ada juga yang membuat spekulasi pemain itu berkemungkinan pemain warisan palsu sepertimana tujuh pemain yang telah digantung FIFA sebelum ini.
Begitupun, persoalan tersebut terlerai, dan andaian liar penyokong terbukti silap, apabila Cklamovski menjelaskan sebab sebenar Nacho Mendez tidak disenaraikan.
“Saya rasa semua nampak dia terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan (bersama JDT),” jelas Cklamovski.
Selain bintang berdarah Sepanyol-Malaysia berusia 27 tahun itu, turut tidak dipanggil adalah Arif Aiman (pemulihan kecederaan harmstring) serta Romel Morales manakala dua pemain Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco belum dapat disenaraikan kerana proses naturalisasi belum lengkap.
Dalam pada itu, Cklamovski meletak sasaran untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia, dan semangatnya tidak sama sekali pudar meskipun terpaksa bermula semula daripada kosong.
“Kita sudah ada perancangan jangka pendek untuk layak ke Piala Asia dan pelan jangka panjang iaitu melihat negara ini beraksi di pentas Piala Dunia.
“Saya rasa tiada apa yang berubah meskipun kita kecewa dengan situasi yang berlaku atas faktor luar padang (isu pemalsuan dokumen) sebelum ini.
“Namun, fokus sekarang bukan mengenai masa depan saya, tetapi lebih kepada persiapan pasukan untuk mengharungi perlawanan penting nanti,” ujarnya lagi.



