Ranking skuad bolasepak kebangsaan jatuh 14 anak tangga ke kedudukan 135 dunia – kedudukan paling buruk dalam 20 tahun sejak 2006. Tetapi Peter Cklamovski meminta penyokong tidak menilai Harimau Malaya berdasarkan kedudukan ranking, sebaliknya menerusi kualiti permainan yang telah ditunjukkan.
“Apabila bercakap tentang ranking yang jatuh, semua tahu ia adalah kerana hukuman dikenakan FIFA dan AFC, kita diisytihar kalah lima perlawanan yang kita tidak kalah. Ia langsung tidak berada dalam kawalan saya sebagai jurulatih, staff mahupun pemain.
“Jika anda menilai dari apa yang kami boleh kawal, cara kami bermain, mentaliti yang kita bina dan tonjolkan, maka kita sebenarnya telah lulus dengan cemerlang. Di atas padang, kita tidak tewas walau satu pun perlawanan, itu adalah penilaian yang sebenar.
“Nilailah kami dari peningkatan yang ditunjukkan, bukan dari keputusan yang dibuat atas kertas selepas perlawanan. Team ini sedang berada pada landasan yang baik, mencatat keputusan yang baik, ranking jatuh bukan sebab kita kalah, tapi kerana dihukum, dan ia bukan di dalam kawalan kita,” tegas Cklamovski ketika sesi sidang media di Bukit Jalil.
Untuk rekod, ketika pengendali dari Australia itu mengambil alih pada 2024, ranking Harimau Malaya berada di kedudukan 132 dunia.
Dia memacu Malaysia mengharungi satu tahun yang gemilang bermula dengan menewaskan Nepal (2-0); seri menentang Cape Verde (1-1); menewaskan Vietnam (4-0); Singapura (2-1); Palestin (1-0); Laos (3-0 dan 5-1); serta Nepal (1-0).
Namun, terpalit dengan kontroversi pemalsuan dokumen pemain warisan, keputusan tiga perlawanan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dibatalkan pada bulan Disember disusuli keputusan dua lagi perlawanan menentang Nepal dan Vietnam.
Harimau Malaysia diisytihar kalah 3-0 kesemua perlawanan tersebut.



