HomeSukan"Ini Bukan Pembaziran, Tiada Fasiliti Sesuai Di Dalam Negara"

“Ini Bukan Pembaziran, Tiada Fasiliti Sesuai Di Dalam Negara”

Skuad Harimau Malaya sudahpun memulakan sesi latihan di Thailand pada Selasa sebagai persiapan menjelang aksi terakhir Kumpulan F pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Nam Dinh.

Pasukan negara akan berkampung di Bangkok selama lima hari dengan menjalani sesi latihan di fasiliti milik BG Pathum United di Pathum Thani, sebelum berlepas ke Hanoi pada Sabtu.

Timbul persoalan mengapa skuad negara memilih untuk menjalani latihan di Bangkok selama lima hari, sedangkan mereka berpotensi menjimatkan kos dengan berlatih di tanah air. Malah, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir baru-baru ini menyifatkan ia sebagai pembaziran dan sia-sia.

Artikel Berkaitan: Apa Keperluan Harimau Malaya Berlatih di Bangkok?

Ini kerana perlawanan menentang Vietnam tidak lagi memberi sebarang kesan kepada kempen skuad negara selepas tersingkir daripada saingan kelayakan susulan keputusan AFC yang menolak enam mata akibat kesalahan menurunkan pemain tidak layak.

Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan kem latihan di Thailand itu telah dirancang lebih awal dan tidak berkait dengan perkembangan terkini.

“Keputusan ini dibuat tiga bulan lalu. Ia kerana kekurangan fasiliti yang sesuai untuk kami di dalam negara. Di Thailand, kami mempunyai akses kepada padang berkualiti dan fasiliti yang lebih baik.

“Ini juga selari dengan standard pasukan kebangsaan dan masih dalam lingkungan bajet kami. Ini bukan satu pembaziran, pastinya tiada siapa yang mempersoal kem Bangkok ini jika kita tidak dihukum AFC, ini di luar kawalan kita,” jelas Cklamovski.

Sambil mengesahkan bahawa kem di Bangkok tidak melibatkan sebarang perlawanan persahabatan, Cklamovski berkata: “Kami akan menggunakan tempoh di Thailand untuk memperkemaskan corak permainan dan mencari rentak.

“Kami akan ke Vietnam pada Sabtu, tiba dua hari sebelum perlawanan dan membuat persiapan bagi menghadapi aksi getir di tempat lawan. Kami bersedia untuk cabaran ini. Sudah lama Malaysia tidak menewaskan Vietnam di laman mereka, namun itulah peluang yang berada di hadapan kami.”

RELATED ARTICLES

Most Popular