Peter Cklamovski seringkali menegaskan bahawa proses pemilihan pemain ke dalam skuad kebangsaan dibuat dengan penilaian yang sangat ketat.
Malah baru-baru ini dia menyatakan sudah mengenalpasti beberapa pemain yang berada pada prestasi yang baik untuk dipanggil bagi aksi menentang Vietnam pada 31 Mac.
Maka tidak hairanlah beberapa nama seperti Syahmi Safari, Luqman Hakim dan Feroz Baharudin berjaya memikat hati pengendali dari Australia itu bersama-sama 25 pemain lain.
Begitupun, dalam senarai 28 pemain yang diumumkan, satu nama yang mencetus tanda soal dalam kalangan penyokong, Junior Eldstal.
Tindakan memanggil pemain veteran berusia 35 tahun itu, yang bukan sahaja tiada langsung penampilan Liga Super bersama JDT, malah hanya beraksi di Liga A1 SemiPro bersama JDT II ternyata mengundang pelbagai reaksi.
Rata-rata menyifatkan lebih baik pemain yang betul-betul menyerlah seperti Rodney Calvin, Jimmy Raymond (Kuching City) atau paling tidak Saifulnizam Ros Hasni (Terengganu) yang dipanggil. Malah mereka juga berpendapat Cklamovski sekadar mencukupkan bilangan pemain tanpa membuat penilaian ketat seperti selalu dicanang.
Cklamovski sendiri, sedar akan kritikan dan kecaman yang dilontarkan kepadanya asbab keputusan itu, namun dia mempunyai sebab tersendiri memanggil Junior Eldstal yang mempunyai 23 kap antarabangsa.
“Ia normal apabila ada yang mengkritik atau persoalkan kriteria apa yang dinilai apabila saya panggil Junior. Ia pendapat yang lazim dan saya memahaminya. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang tidak pernah dibuat orang untuk membawa bersama pemain berpengalaman di dalam skuad. Banyak pasukan kebangsaan lain juga melakukannya.
“Saya menilai sumbangan dia dari sudut pandang kepimpinan, ia tidak ternilai. Ia adalah sesuatu yang kita tidak dapat ukur dengan data atau statistik, tetapi itu menjadi faktor penting dalam pemilihan skuad kali ini,” kata Cklamovski kepada pemberita.
Terdahulu, Cklamovski kehilangan beberapa pemain warisan di posisi pertahanan termasuklah Facundo Garces, Gabriel Palmero dan Jon Irazabal kerana digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan.



