HomeSukanTakkan Susah Nak Beri RM100 Juta Kepada Hoki Yang Layak Piala Dunia?

Takkan Susah Nak Beri RM100 Juta Kepada Hoki Yang Layak Piala Dunia?

Cukup-cukuplah manjakan bolasepak dengan peruntukan demi peruntukan, lebih baik salurkan kepada sukan lain lebih-lebih lagi hoki yang akan beraksi di Piala Dunia pada Ogos depan.

Pemerhati sukan tanah air, Zakaria Rahim, berkata baki daripada peruntukan RM30 juta yang dijanjikan kerajaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia, wajar dialihkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia yang sedang dhaif dan nazak dalam aspek kewangan.

Apatah lagi, mereka kini ibarat sedang ‘mengemis’ peruntukan dan mengharapkan sumbangan untuk persiapan yang lebih sempurna.

Malah tegas Zakaria, tidak salah untuk hoki disuntik dengan dana lebih besar berdasarkan pencapaian yang telah terbukti.

“Kalau Harimau Malaya dapat RM30 juta hanya untuk ke Piala Asia, takkan susah nak bagi RM100 juta untuk team hoki yang ke Piala Dunia?

“Team hoki tak perlu duit banyak untuk cari pemain warisan. Tapi perlu dana untuk bayar elaun latihan pemain yang kebanyakannya adalah amatur dan bekerja di pelbagai sektor. Mereka pastinya terpaksa tinggalkan kerja demi negara tercinta.

“Dana juga diperlukan untuk memberi tonik kepada barisan kejurulatihan untuk bekerja lebih bersemangat dan dedikasi. Selain itu, persiapan Piala Dunia memerlukan beberapa perlawanan sparring di dalam dan luar negara.

“Ada dana mencukupi bolehlah sembang tentang latihan dan perlawanan persahabatan yang berkualiti. Ayuh kerajaan Malaysia dan syarikat swasta, bantulah team hoki negara! Mereka lebih memerlukan dana berbanding bolasepak mahupun team Piala Thomas (badminton) yang juga akan beraksi tahun ini,” ujar Zakaria.

Untuk makluman, skuad hoki negara berjaya mengesahkan tempat di Piala Dunia buat kali ke-10 berdasarkan kedudukan ranking dunia yang lebih tinggi selepas mengakhiri pusingan kelayakan di Mesir baru-baru ini di tempat keempat.

Di Piala Dunia nanti, skuad Speedy Tigers yang berada di ranking ke-15 dunia telah diundi bersama tuan rumah Belgium (no.2 dunia), Jerman (no.6 dunia) dan Perancis (no.10 dunia).

RELATED ARTICLES

Most Popular