HomeSukanPenjelasan AFC Mengenai Siapa Yang Layak Bertanding

Penjelasan AFC Mengenai Siapa Yang Layak Bertanding

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi penjelasan mengenai siapa yang layak bertanding pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila ia diadakan nanti pada sekitar bulan Ogos atau September.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Windsor John dalam laporan portal Scoop berkata, mana-mana calon termasuk orang awam boleh bertanding merebut kekosongan jawatan, asalkan mendapat pencalonan yang mencukupi.

Ini termasuklah bekas Exco FAM yang letak jawatan beramai-ramai pada Januari lalu, di mana Windsor menafikan spekulasi bahawa kesemua mereka dilarang untuk bertanding semula.

Menurut beliau, dakwaan bahawa bekas Exco FAM tidak dibenarkan bertanding adalah tidak berasas dan tiada disebut di dalam peraturan.

“Untuk mengatakan mereka tidak boleh bertanding, mesti ada asasnya. Apa asasnya? Apakah peraturan yang menghalang mereka daripada bertanding. Mengikut prinsip tadbir urus standard, hanya keadaan tertentu sahaja yang akan membatalkan kelayakan calon.

“Pertama, mereka mesti digantung. Kedua, mereka berhadapan dengan pertuduhan jenayah, dipenjarakan atau sebagainya — barulah mereka tidak boleh bertanding.

“Jika tiada sebarang keputusan sebegitu yang menghalang mereka daripada bertanding, maka ada pihak yang mencipta cerita ini. Saya tidak tahu mengapa cerita ini tersebar, tetapi soalan sebenar ialah: mengapa mereka tidak boleh bertanding?

“Dalam bola sepak ada peraturan yang menentukan kelayakan atau pembatalan kelayakan untuk bertanding. Jika tidak melanggar peraturan itu, tiada siapa boleh menghalang mereka daripada bertanding,” tegasnya.

Windsor bagaimanapun berkata, perbincangan mengenai calon atau kongres pemilihan masih terlalu awal, kerana keutamaan kini adalah menstabilkan dan memperbaiki FAM.

“Jauh daripada memikirkan siapa yang akan bertanding dalam kongres, kami mahu ‘memperbaiki rumah’ (FAM) dahulu. Banyak kerja sedang dijalankan daripada pihak kami,” katanya.

AFC kini sedang menjalankan penilaian terhadap FAM sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh tadbir urus dan memastikan persatuan itu selaras dengan piawaian antarabangsa, dengan proses dijangka selesai sebelum Piala Dunia 2026.

RELATED ARTICLES

Most Popular