HomeSukan"Macam Mana Nak Berhubung Dengan TMJ" - Nelson Sam Martin

“Macam Mana Nak Berhubung Dengan TMJ” – Nelson Sam Martin

Bekas pemain import Kedah, Nelson Sam Martin sedang mengharungi saat-saat sukar dalam hidup, dan kini mengharapkan bantuan kewangan daripada orang ramai untuk pulang semula ke negara kelahirannya, Chile.

Ini berikutan tunggakan gaji yang menurutnya sangkut selama beberapa bulan sejak daripada tahun lepas, dan meleret tanpa penyelesaian sehingga dia akhirnya putus harapan selepas gagal menghubungi sesiapa dari Kedah Darul Aman FC.

Untuk makluman, Nelson yang merupakan antara tonggak ketika Kedah menjulang double-treble pada 2007 dan 2008, kembali menabur bakti di negeri itu sebagai Pengarah Teknikal pada 2024 dan menandatangani kontrak baru pada November 2025.

Nelson menjelaskan dia berfikir panjang sebelum membuat keputusan bercerita kepada umum tentang masalah dihadapinya atas dasar tiada pilihan lain. Sebagai bersimpati kepadanya, ramai penyokong yang menghulurkan sumbangan kepadanya menerusi QR yang dikongsikan.

Malah dalam masa sama ada penyokong mencadangkan kepada Nelson untuk berhubung dan menceritakan masalahnya kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang diyakini dapat membantu.

“Bagaimana untuk berhubung dengan Tuanku (TMJ),” soal Nelson sebagai respon kepada cadangan itu. Beberapa penyokong memintanya terus menghubungi TMJ di Instagram.

Apakah masalah dihadapi Nelson Sam Martin, sehingga dia terpaksa ketepikan rasa malu dan sampai ke tahap mengharapkan bantuan orang ramai? Ini apa yang diceritakannya.

“Saya berkongsi dengan hati yang berat, saya tidak pernah menyangka perjuangan paling sukar dalam hidup saya adalah untuk terus bertahan dan menyara keluarga saya. Saya berfikir panjang sama ada mahu menceritakan masalah saya kepada orang ramai, tetapi saya sudah sampai tahap terlalu terdesak, tidak dapat menanggung beban yang ditanggung sejak 2024 ini seorang diri.

“Saya masih di Kedah, berkontrak dengan KDAFC. Bagaimanapun hakikat peritnya adalah sejak lebih dua bulan, saya langsung tidak dipedulikan. Saya dibiarkan tanpa sokongan, tidak tahu dengan siapa mahu berkomunikasi.

“Kali terakhir saya terima setidak-tidaknya sebahagian gaji adalah pada 10 Januari, sejak itu, saya tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Semuanya diam membisu. Pejabat pun tidak ada untuk saya pergi bertanya atau meminta penjelasan.

“Adalah penting untuk memberitahu gaji tertunggak ini bukan sahaja bagi kontrak baru yang ditandatangani pada November 2025, tetapi babitkan banyak bulan dari kontrak sebelumnya juga.

“Di kala saya berdiam dan menunggu, hidup menjadi mimpi ngeri. Saya sedang berdepan dengan masalah undang-undang yang serius dan memerlukan tindakan segera di Chile, pada ketika saya lumpuh sepenuhnya di sini.

“Saya seorang ayah dan satu-satunya mencari nafkah, namun ketika ini saya dan keluarga saya sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan. Kami tidak boleh membayar sewa rumah, keperluan asas seorang manusia patut ada pun tiada, dan ianya sangat menyakitkan apabila tidak dapat mencukupkan keperluan harian keluarga.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang sentiasa baik dengan saya. Sokongan peminat buat saya terus kuat, dan saya janji akan balas kebaikan itu bila keadaan dah ok. Terima kasih juga kepada kawan-kawan rapat yang selalu bantu.

“Saya mungkin orang asing, tapi Malaysia dah jadi rumah saya. Saya tahan segala kesusahan, diam-diam lalui semua, termasuk perkara-perkara memalukan sebab saya benar-benar nak kerja, hidup, dan kekal di sini. Saya bangga jadi sebahagian daripada negara ini,” kata Nelson Sam Martin sambil mengharapkan Tan Sri Daud Bakar (Pemilik KDAFC) akan menghubunginya untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara baik.

RELATED ARTICLES

Most Popular