HomeSukanPeluang Tak Kunjung Tiba, Kamal Azizi Akui Kecewa

Peluang Tak Kunjung Tiba, Kamal Azizi Akui Kecewa

Nak bermain sebagus mana lagi untuk layak menyarung jersi kebangsaan, mungkin itu yang bermain di fikiran pemain pertahanan kanan KL City, Kamal Azizi Zabri.

Pemain berusia 32 tahun itu telah menyerlahkan dirinya sebagai tunjang KL City sejak beberapa musim lalu – memainkan peranan penting antaranya ketika menjulang Piala Malaysia 2021, layak ke final Piala AFC 2022 serta final Piala FA 2023.

Lupakan tahun-tahun yang sudah, bayangkan tahun ini dia menjadi aset utama KL City dan diturunkan Risto Vidakovic dalam semua 25 perlawanan – mengumpul dua gol dan tiga assist sekaligus membuktikan nilai besarnya kepada KL City yang menduduki tangga keempat Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Maka tidak hairanlah apabila pemain kelahiran Terengganu itu berasa terkilan dan kecewa namanya tiada, meskipun dalam senarai bersedia ketika call-up diumumkan untuk aksi berdepan Vietnam, pada 31 Mac

“Saya gembira tahun ini menjadi pilihan coach (Risto) untuk berada dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan dan memberikan segala yang terbaik. Tetapi, mengecewakan ia tidak memadai untuk saya dipanggil ke skuad kebangsaan.

“Dalam senarai bersedia (standby) pun nama saya tak ada, jujur cakap memang saya down ketika senarai call-up diumumkan,” ujarnya dilaporkan The Star.

Apabila pemain penting seperti Kamal Azizi yang dilabel antara pemain ‘man-to-man marking‘ terbaik dalam Liga Malaysia, dikenali dengan permainan agresif, keras dan sentiasa menyukarkan pemain sayap lawa, tidak dipandang Peter Cklamovski, apa sebab yang mungkin?

Barisan kejurulatihan skuad kebangsaan pantau prestasi pemain ala kadar, terlepas pandang, atau terlalu banyak pilihan pemain di posisi Kamal Azizi?

“Sebelum ini pun, saya kerap diturunkan cuma tak menyumbang gol atau assist, tahun ini saya skor gol, buat assist, tingkatkan permainan dan berikan lebih dari tahun sebelumnya. Jadi apabila dah buat yang terbaik, tetapi tak dapat apa yang diinginkan, ia memang menyakitkan,” katanya yang mahu mengubat luka dengan membantu KL City memburu kedudukan naib juara Liga Super.

“Saya akan terus mengejar impian itu, harapnya dengan prestasi yang konsisten, ada manis-manis selepas ini, mungkin juga panggilan ke kem kebangsaan di masa akan datang,” tambah Kamal Azizi.

RELATED ARTICLES

Most Popular