HomeSukan"Malaysia Bagai Dirasuk" - Mengenang Malam 'Sekolahkan' Vietnam

“Malaysia Bagai Dirasuk” – Mengenang Malam ‘Sekolahkan’ Vietnam

Tanggal 11 Disember 2014, malam di mana Shukor Adan dan rakan-rakan ‘sekolahkan’ Vietnam dan membungkam sorakan puluhan ribu penyokong di Stadium My Dinh, Hanoi apabila memacu Malaysia mencatat kemenangan 4-2 ke atas Vietnam dalam aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014.

Turun dengan ketinggalan agregat 1-2, tidak banyak harapan diletakkan untuk skuad bimbingan Dollah Salleh menterbalikkan keputusan. Begitupun empat gol di babak pertama menerusi Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, gol sendiri pemain Vietnam dan Shukor Adan menyaksikan kemenangan penuh dramatik dan mengesahkan tiket final buat Harimau Malaya.

“Malaysia turun bagai dirasuk” – itulah gambaran 45 minit pertama yang menghancurkan Vietnam malam tersebut. Seawal minit ketiga, Indra Putra yang lolos setelah menerima hantaran Amri Yahyah berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas dijatuhkan Que Ngoc Hai. Safiq Rahim tenang menyudahkan sepakan penalti itu untuk gol keempatnya di kejohanan tersebut.

Pendekatan Malaysia bermain hantaran jauh ternyata menyukarkan Vietnam, dan minit ke-15 mereka dihukum lagi. Kali ini dibantu salah faham antara Thien Thanh Dinh dan penjaga gol Nguyen Manh Tran yang gagal mengeluarkan bola hantaran jauh Amri, membolehkan bola ‘dicuri’ Norshahrul Idlan yang bijak menyelinap dan menolak bola masuk ke gawang kosong.

Ketika Malaysia semakin selesa mendominasi, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-23 apabila Le Cong Vinh dikasari Fadhli Shas dalam situasi sepakan sudut. Penyerang itu tenang menyempurnakan sepakan menewaskan Farizal Marlias, menjadikan perlawanan semakin rancak dengan agregat 3-3.

Sorakan penyokong Vietnam kembali bergema, namun hanya bertahan enam minit. Hantaran jauh sekali lagi menemui Indra yang meluru di sebelah kiri sebelum melakukan hantaran lintang yang tertampan masuk oleh Thanh Dinh ke gawang sendiri.

Jurulatih Vietnam, Toshiya Miura, segera memasukkan Le Tan Tai bagi menggantikan Hoang Thinh untuk mengukuhkan posisi tengah yang dikuasai Amri dan Badhri Radzi.

Begitupun, menjelang tamat babak pertama, Malaysia terus berpesta gol. Hantaran daripada sepakan sudut menyaksikan Fadhli Shas menanduk bola ke bawah sebelum kapten Shukor Adan menanduk masuk gol keempat Harimau Malaya.

Memasuki babak kedua, Miura yang terdesak mencari dua gol untuk mengikat agregat membawa masuk Mac Hong Quan, dan beraksi dengan empat penyerang.

Vietnam mengaktifkan mode all-out attacking, mula mengancam dengan beberapa percubaan berbahaya, namun benteng Malaysia kekal ampuh sebelum akhirnya ditembusi pada minit ke-78, menerusi Cong Vinh.

Ia menjadi 12 minit yang panjang buat Malaysia tatkala Vietnam melancarkan serangan bertali arus, malah begitu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-81 dengan bola diselamatkan di atas garisan gol.

Skuad negara bertahan dengan cemerlang sehingga wisel penamat dibunyikan dan mengesahkan kemenangan untuk mara ke final dengan agregat 5-4. Ia menjadi kemenangan terakhir dilakar Harimau Malaya di bumi Vietnam.

Vietnam: Nguyen Manh Tran (GK), Le Phuoc Tu, Tien Thanh Dinh, Van Bien Nguyen, Ngoc Hai Que, Hoang Thihn Ngo (38′ Le Tan Tai, 50′ Nguyen Hai Anh) Nguyen Van Quyet, Pham Thanh Luong, Vo Huy Toan (46′ Mac Hong Quan), Huy Hung Nguyen, Le Cong Vinh (C)

Malaysia: Farizal Marlias (GK), Shukor Adan (C), Fadhli Shas, Zubir Azmi, Azamuddin Azkil, Badhri Radzi (78′ Baddrol Bakhtiar), Safiq Rahim, Indra Putra Mahayuddin (92′ Muslim Ahmad), Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha

RELATED ARTICLES

Most Popular