HomeSukanBubarkan Malaysia NT, Kembalikan Harimau Malaya Kepada FAM

Bubarkan Malaysia NT, Kembalikan Harimau Malaya Kepada FAM

Dulu ketika skuad bolasepak kebangsaan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidaklah jatuh seteruk ini. Segalanya berubah dengan idea revolusi, ditubuhkan satu unit khas dengan nama pengurusan pasukan kebangsaan (Malaysia NT) – kita bukan sahaja jatuh, malah maruah tergadai dan menjadi bahan jenaka seluruh dunia, terutama dalam kalangan negara-negara ASEAN dengan gelaran ‘negara penipu’.

Di bawah pengurusan FAM, skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon menunjukkan peningkatan yang baik dan layak beraksi di Piala Asia 2023 secara merit. Malah kita juga berjaya mengikat jagoan Asia, Korea Selatan tanpa kelibat pemain warisan palsu.

Apa pula yang berlaku di bawah Malaysia NT yang diuruskan Rob Friend? Malaysia rancak membawa masuk pemain warisan entah dari mana untuk mengejar kejayaan segera, pada awalnya berbangga mencatat keputusan positif dan ranking melonjak namun kemudiannya terduduk – semuanya menjadi serba tidak kena.

Kesemua tujuh pemain didakwa terlibat memalsukan dokumen dan digantung, lima keputusan dibatalkan dan diisytihar kalah 3-0, gagal layak ke Piala Asia, Exco FAM meletak jawatan beramai-ramai dan kini berada pada ranking terburuk dalam tempoh lebih dua puluh tahun. Situasi yang pertama kali disaksikan dalam kancah bolasepak tanah air.

Malah Rob Friend sendiri menghilang, tidak berada dalam negara, lebih banyak bekerja dari negaranya sendiri sedangkan dia perlu sentiasa bersama Harimau Malaya, atas kapasiti jawatannya.

“Saya menyeru agar Malaysia NT ditutup, dan kembalikan skuad kebangsaan kepada FAM. Kita mulakan dari bawah untuk membuka lembaran baharu bersempena 100 tahun penubuhan FAM.

“Apa yang berlaku telah berlaku, masa tidak boleh diundur, kita pandang ke depan, barisan kepimpinan FAM yang baru mesti meletakkan sasaran terbaik,” kata pemerhati bolasepak Zakaria Rahim.

Pendapat sama dikongsi seorang lagi pengkritik sukan, Dr Zulakbal Karim, yang menyatakan tindakan meletakkan Harimau Malaya di luar FAM satu eksperimen yang memakan diri sendiri.

“Kita perlu menilai semula sama ada struktur semasa pasukan kebangsaan ini wajar diteruskan. Bukti menunjukkan struktur terdahulu di bawah FAM membuahkan hasil.

“Struktur semasa gagal walaupun menerima pembiayaan besar daripada kerajaan, dan ia turut tercalar dengan skandal dokumen dipalsukan. Harimau Malaya wajar diletakkan semula di bawah jawatankuasa pasukan kebangsaan FAM bagi memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang yang lebih baik,” kata Zulakbal.

Tambah beliau: “Saya pelik apabila pasukan beraksi cemerlang, unit bebas ini (Malaysia NT) mengambil kredit, tetapi apabila FIFA menghukum Malaysia berhubung isu pemain warisan palsu, mereka lepas tangan manakala FAM pula dipersalahkan.

“Sekarang, kita perlu kenal pasti apa yang tidak menjadi — pembangunan, kejurulatihan, pertandingan, atau semuanya sekali. Selama 100 tahun, kita bergelut. Adakah kita mahu terus gagal untuk 100 tahun lagi, atau akhirnya melakukan perubahan?”

RELATED ARTICLES

Most Popular