Home"Tiada Siapa Patut Terima Nasib Sama Seperti Saya" - Sarjit Singh

“Tiada Siapa Patut Terima Nasib Sama Seperti Saya” – Sarjit Singh

Bekas ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh, berkata tiada mana-mana jurulatih dalam apa jua sukan yang patut menerima nasib sama seperti dialaminya, apabila dipecat walaupun berjaya mencapai sasaran ditetapkan untuk layak ke Piala Dunia.

Sarjit dipecat kira-kira seminggu selepas dia berjaya membawa skuad The Speedy Tigers ke Piala Dunia, berdasarkan kedudukan ranking yang lebih tinggi selepas menamatkan pusingan kelayakan di Mesir di tempat keempat.

Justeru, dalam temubual esklusif bersama FMT, Sarjit yang masih terkilan menyifatkan pemecatannya sebagai tidak adil dan beliau dijadikan ‘kambing hitam’ apatah lagi tiada sebab yang konkrit diberikan.

Lebih menyedihkan, Sarjit ketika itu baru sahaja pulang ke tanah air, malah laporan prestasi yang disediakan juga belum sempat dibentangkan kepada Jawatankuasa namun diberitahu khidmatnya sudah tidak diperlukan.

“Bagi saya ia satu kejutan besar dan keputusan yang tidak adil, saya tak dapat percaya. Saya mungkin jurulatih pertama yang dipecat selepas membawa pasukan layak ke Piala Dunia.

“Awak kena faham, saya baru sahaja pulang (selepas berakhir pusingan kelayakan). Mereka belum tengok pun lagi laporan yang disediakan. Saya ada semua data, mengenai gol dijaringkan, gol dibolosi, penalty corner, semua.

“Ia sepatutnya menjadi teras penilaian tetapi saya ditendang sebelum sesiapa pun membacanya. Paling tidak, mereka boleh memberikan saya notis awal, bukan buang saya seperti ini. Saya sangat sedih, apa yang berlaku kepada saya tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana jurulatih dalam apa jenis sukan sekalipun,” ujar pengendali berusia 64 tahun itu.

Menurut Sarjit lagi, pertemuan bersama Presiden KHM, Datuk Sri Subahan Kamal memberikan gambaran lebih jelas tentang sebab dia dipecat namun ia tetap keputusan yang mengundang pertikaian.

“Dia (Subahan) kata dia tak gembira dengan kedudukan ranking dunia. Tetapi hujah saya mudah, ketika saya menerima tugasan ini, saya diletakkan KPI untuk membawa pasukan ke Piala Dunia. Saya kata beri saya masa dua tahun, kalau saya gagal, saya sendiri akan letak jawatan.

“Saya capai sasaran itu, tetapi saya tetap disingkirkan. Katakanlah awak disuruh untuk buat sesuatu, dan awak berjaya lakukannya, adakah ia dianggap gagal, adakah logik awak dipecat? kata Sarjit lagi sambil menegaskan ada isu lain yang menimbulkan rasa kurang senang Subahan.

“Saya ada membuat kenyataan, dengan cara yang agak baik bahawa kita perlukan kumpulan pemain yang lebih besar untuk penggiliran, apatah lagi kita akan bermain dalam banyak kejohanan. Kita kekurangan pelapis, dia (Subahan) mengakui kurang senang dengan kenyataan itu.

“Apapun saya tidak sepatutnya menerima layanan seperti ini, mengapa buat keputusan saat akhir dan mungkin janji. Saya dijadikan kambing hitam. Amat menyedihkan apabila orang akan mengingati saya kerana perkara ini berbanding jasa saya semasa bergelar pemain,” ujarnya yang juga bekas kapten skuad kebangsaan selama hampir tujuh tahun.

Tambah Sarjit, tiba masanya hoki Malaysia mempunyai kepimpinan yang lebih berkaliber dan benar-benar mempunyai visi.

“Kita perlukan individu yang tepat dalam sukan, mereka yang benar-benar tahu tentang permainan ini, yang faham tentang prestasi tinggi dan pembangunan. Kita perlukan pentadbir yang mempunyai visi.”

RELATED ARTICLES

Most Popular