HomeSukanBerputus Asa Dengan Hidup, Adebayor Pernah Cuba Bunuh Diri

Berputus Asa Dengan Hidup, Adebayor Pernah Cuba Bunuh Diri

Apabila sebut nama Emmanuel Adebayor, perkara pertama yang akan terlintas dalam fikiran adalah sambutan gol kontroversinya pada 2009 ketika membantu Manchester City menewaskan bekas pasukannya Arsenal 4-2 di Etihad.

Peminat Liga Perdana Inggeris takkan lupa, tandukan kencang Adebayor yang menewaskan Manuel Almunia di gawang Arsenal, disusuli larian pecut sepanjang padang ke gawang bertentangan untuk meraikan gol di hadapan penyokong lawan.

Dia kemudian dikenakan denda £25,000 dan digantung dua perlawanan oleh FA Inggeris atas insiden itu yang dianggap sebagai provokasi dan ‘unsportmanship behaviour’ (tiada semangat kesukanan).

Di sebalik imej provokatif dan seringkali dilihat sebagai watak ‘villain’ di atas padang, Adebayor boleh dikatakan mengharungi karier yang agak berjaya di EPL. Dia bermain 11 musim bersama empat kelab – Arsenal, City, Tottenham Hotspur serta Crystal Palace – dan menjaringkan 97 gol dalam 242 penampilan.

Walaupun dilabel antara pemain Afrika paling prolifik dalam sejarah EPL, Adebayor pada hakikatnya menyimpan kisah peribadi yang cukup gelap dan pernah berdepan kecelaruan mental sehingga terfikir mahu mencabut nyawanya sendiri beberapa kali.

Semuanya gara-gara konflik keluarga yang mata duitan, materialistik dan hanya mahu mengambil kesempatan daripadanya. Malah lebih memburukkan keadaan, dia mendakwa disihir oleh ibu kandungnya sendiri.

“Ketika di Metz (permulaan karier), saya meraih £3,000 sebulan. Keluarga saya mahukan sebuah rumah yang bernilai setengah juta (£500,000). Kelab pula semakin naik fed-up dengan sikap saya.

“Saya masih ingat, duduk di atas katil pada satu malam, sambil memikirkan apa yang aku buat di sini, semua orang tak suka aku, keluarga pun hanya pergunakan aku untuk kesenangan mereka. Buat apa lagi aku nak hidup?

“Ada sebuah farmasi di bawah apartmen saya, saya membeli banyak bungkusan pil. Mereka tidak mahu menjual kepada saya, tapi saya bagitahu ia untuk program amal di Togo. Semuanya sudah tersedia, saya minum banyak air, dengan pil di tangan.

“Kemudian saya call kawan saya, bagitahu saya sudah berputus asa. Dia cakap kepada saya jangan terburu-buru, ada banyak benda saya boleh capai, dan saya boleh merubah Afrika,” ujarnya.

Bercakap lebih lanjutmengenai konflik keluarganya, Adebayor berkata: “Ibu meminta saya keluar rumah pada usia 15 tahun untuk cari duit dengan bermain bola di Perancis. Pada usia 17 tahun, dengan gaji pertama saya saya membina sebuah rumah untuk kesenangan mereka semua. Malah, ketika saya meraih Anugerah Pemain Terbaik Afrika 2008, saya panggil ibu saya naik ke pentas untuk berterima kasih kepadanya.

“Saya anak yang mengenang budi, saya membawa ibu saya ke London untuk menjalani pelbagai pemeriksaan perubatan tetapi dia tidak berminat. Ketika anak perempuan saya dilahirkan dan kami menghubungi ibu saya untuk memaklumkannya, dia terus menamatkan panggilan dan enggan mendengar khabar gembira itu.

“Saya memberikan ibu banyak wang untuk memulakan perniagaan, malah sebagai ibu memberikannya hak guna nama saya, gambar saya untuk mempromosikan bisnes, tetapi akhirnya saya dikatakan membiarkan dia merempat mencari sesuap nasi?

“Saya berkorban demi kesenangan mereka, amat sukar untuk menerima apabila kamu bekerja keras untuk membantu keluarga keluar dari kemiskinan, tetapi mereka tidak pernah mempedulikan saya dan hanya nampak duit.”

Tambahnya lagi: “Beberapa tahun lalu, saya membeli sebuah rumah di East Legon dengan harga $1.2 juta. Saya fikir ia normal untuk membenarkan kakak sulung saya, Yabo Adebayor, tinggal di rumah itu. Saya juga membenarkan abang tiri saya, Daniel, tinggal di situ.

“Beberapa bulan kemudian, ketika saya bercuti dan memutuskan untuk pergi ke rumah itu, saya terkejut melihat banyak kereta di jalan masuk. Rupa-rupanya, kakak saya memutuskan untuk menyewakan rumah itu tanpa pengetahuan saya dan turut menendang Daniel keluar.

“Apabila saya menelefonnya untuk mendapatkan penjelasan, dia menghina dan memaki hamun saya. Saya menghubungi ibu saya untuk menjelaskan situasi itu, namun beliau bertindak sama seperti kakak saya.

“Kakak yang sama kini menuduh saya tidak tahu membalas jasa. Tapi cuba tanya dia tentang kereta yang dia pandu sekarang atau apa sahaja yang dia jual hari ini?

“Abang saya, Kola Adebayor, berada di Jerman selama 25 tahun. Dia hanya pulang ke tanah air kira-kira empat kali, dan semua kos ditanggung sepenuhnya oleh saya. Saya juga menanggung pendidikan anak-anaknya sepenuhnya.

“Ketika saya berada di Monaco, dia datang kepada saya meminta wang untuk memulakan perniagaan. Hanya Tuhan yang tahu berapa banyak saya telah memberikannya. Tetapi di manakah perniagaan itu hari ini?

“Apabila abang kami, Peter, meninggal dunia, saya menghantar sejumlah besar wang kepada Kola supaya dia dapat pulang ke rumah untuk pengebumian. Namun, dia langsung tidak hadir.

“Saya terpaksa menukar nombor telefon supaya ahli keluarga tidak dapat menghubungi saya. Mereka menghubungi saya bukan untuk bertanya khabar, sebaliknya hanya meminta duit. Ada sekali tu, saya mengalami kecederaan paha ketika bersama Tottenham, mereka menelefon ketika saya sedang menjalani imbasan kecederaan dan menanyakan sama ada saya boleh membayar yuran sekolah anak-anak mereka. Sekurang-kurangnya tanyalah keadaan saya terlebih dahulu.

“Disebabkan saya mula menjauh, ibu menyihir (juju – amalan spiritual dari Afrika Barat) saya untuk merosakkan karier saya. Saya tidak bercakap dengan ibu saya mahupun adik beradik bertahun lamanya. Adakala saya menyampah memikirkan apa yang terjadi.”

Untuk rekod, ketika bersama Arsenal, gaji tertinggi Adebayor difahamkan sekitar £70,000 seminggu,dan jumlah itu meningkat kepada sekitar £175,000 semingguketika dia bersama Manchester City. Di Spurs, difahamkan dia meraih sekitar £100,000 seminggu.

RELATED ARTICLES

Most Popular