Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar sedia bertanding merebut tempat di dalam barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekiranya dicalonkan.
Menurut Shahril, FAM perlu dibarisi pemimpin terdiri daripada golongan profesional dan juga orang korporat seperti dirinya untuk bergabung tenaga memulihkan semula reputasi badan induk bola sepak tanah air itu.
“Rombakan besar-besaran harus berlaku. Kalau kita betul-betul mahukan perubahan yang lebih baik untuk bolasepak negara, muka-muka atau ahli korporat harus bertanding untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.
“Kalau ada pencalonan, kalau ada yang percaya dan kalau ada rezeki, saya sedia berkhidmat tetapi saya cuma inginkan satu penggal sahaja. Selepas sudah perbetulkan (FAM), saya akan buka jalan kepada yang lain,” katanya dipetik dari Stadium Astro.
Untuk rekod, Shahril merupakan tokoh korporat terkemuka berpengalaman luas, antaranya pernah berperanan sebagai Pengarah Urusan Prasarana Malaysia Bhd serta CEO MRT Corp, menerajui pembinaan dan penyerahan MRT Laluan 1 dan Laluan 2, dua projek infrastruktur rel paling signifikan di Malaysia.
Beliau masih memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat swasta iaitu termasuk sebagai Pengarah Eksekutif Destini Bhd selain mempengerusikan West River Bhd, Inspace Creations Bhd dan menganggotai lembaga pengarah EVD Bhd.
Shahril yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, sebelum ini pernah berada di dalam barisan Exco FAM dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM serta Pengurus Skuad B-23 kebangsaan.
Namun dia melepaskan semua jawatannya dalam badan induk itu pada Jun 2024, dengan media tempatan melaporkan ia berkemungkinan disebabkan hukuman yang dijatuhkan Malaysian Football League ke atas Selangor FC ketika itu.



