HomeSukanBeri Saya Peluang Berbakti Kepada Harimau Malaya - Agyarkwa

Beri Saya Peluang Berbakti Kepada Harimau Malaya – Agyarkwa

Keinginan untuk menyarung jersi Harimau Malaya tidak dapat dibendung lagi oleh pemain import Selangor, Alex Agyarkwa. Pemain itu berharap dapat bermain dengan skuad kebangsaan atas kapasiti pemain naturalisasi.

Pemain dari Ghana itu sudah pun bermain di Liga Malaysia sejak awal 2021 bermula sebagai pemain pinjaman bersama Selangor sebelum menyertai mereka secara tetap pada tahun sama. Dia kini sudah memenuhi peraturan lima tahun ditetapkan FIFA untuk beroleh status naturalisasi.

Justeru dia berharap Selangor akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk membantu mengemukakan permohonan dan mendapatkannya kewarganegaraan Malaysia.

“Saya sudah lima tahun berada di sini dan saya sangat selesa. Jika diberi peluang, sudah tentu saya mahu beraksi bersama Harimau Malaya. Saya percaya boleh membantu pasukan terutama di bahagian tengah.

“Saya harap kelab (Selangor) boleh bantu dari segi dokumentasi. Jika semuanya berjalan baik, saya bersedia untuk berikan yang terbaik kepada negara ini,” katanya dalam laporan BH Sukan.

Untuk rekod, Agyarkwa pada awal musim 2025/2026 tempoh hari dipinjamkan ke Negeri Sembilan selama semusim, dan berjaya menambat hati penyokong skuad hoben jang hoben dengan permainan bertenaga.

Ada penyokong mencadangkan khidmatnya didapatkan secara tetap namun difahamkan klausa pelepasan yang ditetapkan Selangor adalah sebanyak RM6 juta. Ketika dia semakin menyerlah, Selangor bagaimanapun membuat keputusan memanggilnya pulang hanya selepas enam bulan.

Malaysia ketika ini sudahpun mempunyai himpunan pemain naturalisasi di dalam skuad antaranya Endrick Dos Santos, Paolo Josue, Romel Morales dan Sergio Aguero.

Selain itu, Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski juga bakal diperkuatkan tiga lagi pemain iaitu Bergson da Silva, Giancarlo Gallifuoco dan Manuel Hidalgo dengan permohonan mereka dilaporkan sudah berada di fasa akhir.

Sekiranya dinaturalisasikan, Agyarkwa akan menjadi pemain berkulit hitam kedua diberikan kerakyatan atas tiket bolasepak selepas Mohamadou Sumareh dari Gambia, yang juga pemain naturalisasi pertama negara.

RELATED ARTICLES

Most Popular