Susulan kenyataan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon bahawa beliau mempunyai idea untuk menyelesaikan masalah kewangan kelab-kelab Liga Malaysia, ia nampaknya menarik perhatian Johor Darul Takzim.
CEO kelab harimau selatan itu, Luis Garcia dalam satu kenyataan berkata: “Saya tertarik dengan kenyataan terbaru Dr. Johan Kamal, bahawa beliau mempunyai penyelesaian bagi masalah kewangan dalam Liga Malaysia.
“Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan kerana kita perlu mengetahui apakah idea penyelesaian beliau.
“Saya berbesar hati dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa serta bekerja dengan organisasi-organisasi bertaraf dunia, dan saya amat ingin mengetahui apakah penyelesaian yang dimiliki oleh Dr. Johan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau dalam bola sepak Malaysia dan antarabangsa. Saya berharap perbincangan bersama semua pasukan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.”
Sebelum ini, Johan Kamal ada menyatakan bahawa Selangor bersedia menerima apa sahaja perubahan atau pembaharuan dilaksanakan Malaysia Football League (MFL) terhadap struktur Liga Malaysia.
Ini termasuklah cadangan-cadangan transformasi mahupun reformasi Liga Malaysia yang semakin hangat diperkatakan antaranya kembali kepada format liga semi-pro, penyelarasan bajet pasukan bagi memastikan persaingan lebih adil, perubahan kuota import dan lain-lain dalam memastikan liga tempatan terus bertahan untuk jangka panjang.
Malah beliau memberitahu Selangor sendiri ada solusi penyelesaian yang boleh dibentangkan sambil menekankan adalah penting untuk satu keputusan bersama di antara MFL dan semua pihak berkepentingan perlu segera dicapai mengambil kira kedudukan kewangan pasukan yang berada dalam keadaan membimbangkan.



