HomeSukanBojan Hodak Restui Anaknya Luka Wakili Malaysia

Bojan Hodak Restui Anaknya Luka Wakili Malaysia

Bojan Hodak, jurulatih yang tidak asing dalam kancah bolasepak tanah air, memberi lampu hijau kepada anaknya Luka Hodak untuk menyarung jersi Malaysia.

Ini bermakna pemain tengah berusia 18 tahun itu, kini berpotensi mendapat call-up ke skuad B-19 kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2027 pada Ogos nanti – bergantung kepada prestasinya bersama NK Trnje di Croatia.

Keterbukaan Bojan Hodak, jurulatih berasal dari Croatia untuk membenarkan anaknya bermain dengan Harimau Malaya disambut baik penyokong dengan komen paling mencuri tumpuan adalah “ini baru pemain warisan sebenar, bukan datang pakai dokumen palsu.”

“Luka bermain secara konsisten bersama NK Trnje, yang juga merupakan kelab di mana saya memulakan karier profesional saya.

“Isteri saya adalah rakyat Malaysia dan Luka dilahirkan di Malaysia. Dia mempunyai pasport Malaysia, dan jika dia mendapat panggilan, kami akan membenarkannya menyertai kem latihan. Kami tiada sebarang masalah untuk dia mewakili Malaysia,” ujar Bojan dipetik dari portal Scoop.

Tambah Bojan, pembangunan bakat Luka kekal tertumpu di Eropah di mana perancangan telah dibuat untuk dia menyambung pengajian serta karier bola sepak di Sepanyol, bagi memastikan dia terus mendapat pendedahan berharga.

“Dia menunjukkan perkembangan yang baik. Saya baru-baru ini memasukkannya dalam latihan remaja Persib Bandung dan dia menyesuaikan diri dengan baik.

“Dia akan ke Sepanyol untuk pengajian peringkat tinggi dan akan bermain untuk sebuah kelab di sana. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan minit permainan secara konsisten dan terus berkembang,” ujarnya.

Luka juga mempunyai latar belakang bola sepak yang kuat. Bojan menikmati kejayaan besar di Malaysia, termasuk membimbing Kelantan meraih treble domestik bersejarah pada 2012 sebelum membawa Johor Darul Ta’zim menjulang kejuaraan Liga Super pertama mereka pada 2014.

Beliau pernah bertindak sebagai ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan dan kejayaan terakhirnya di Malaysia adalah bersama KL City apabila memimpin kelab itu menjuarai Piala Malaysia 2021 serta mara ke final AFC Cup 2022.

RELATED ARTICLES

Most Popular