HomeSukanHasrat Penyokong Melihat Kelibat Nazmi di Piala Dunia Berkecai

Hasrat Penyokong Melihat Kelibat Nazmi di Piala Dunia Berkecai

Hajat besar penyokong untuk menyaksikan kelibat pengadil Malaysia di Piala Dunia 2026 tidak kesampaian setelah calon pilihan utama, Nazmi Nasaruddin, tiada dalam senarai pegawai perlawanan yang diumumkan FIFA pada Khamis.

Nazmi yang dianggap pengadil terbaik Malaysia, dianggap berpeluang cerah untuk tampil bertugas di Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada itu setelah terpilih menyertai kursus ‘Calon Pilihan Piala Dunia 2026’ pada 2024.

Seramai 52 pengadil dipilih, termasuk enam wanita, bersama 88 penolong pengadil serta 30 pegawai VAR daripada enam konfederasi dan 50 ahli gabungan.

Ketua Pegawai Pengadilan FIFA, Pierluigi Collina, berkata pegawai yang dipilih adalah pengadil terbaik dunia selepas mengharungi proses penilaian yang ketat.

“Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan besar pegawai yang dikenal pasti dan dipantau sejak tiga tahun lalu. Mereka menghadiri seminar serta mengadili kejohanan FIFA. Selain itu, prestasi mereka dalam perlawanan domestik dan antarabangsa turut dinilai secara berkala,” kata Collina.

Ini bermakna belum ada pengadil dari Malaysia yang bertugas di Piala Dunia selepas Subkhiddin Mohd Salleh yang bertugas sebagai pegawai keempat pada Piala Dunia 2010.

Sebelum Subkhiddin, arwah Kapten Halim Abd Hamid mencipta sejarah sebagai pengadil pertama Malaysia yang dipilih untuk kejohanan bola sepak terbesar dunia itu, di edisi France 1998. Menurut laporan, beliau bertindak sebagai penjaga garisan bagi perlawanan pusingan kedua antara Argentina dan England.

Dalam pada itu, FIFA turut membuat kejutan apabila menyisihkan nama Jean Jacques Ndala dari Congo, yang mengadili perlawanan final Piala Negara-Negara Afrika yang penuh kontroversi pada Januari lalu.

Keputusan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan prestasi Ndala ketika perlawanan antara Senegal dan Maghribi yang dikatakan menjadi punca tercetusnya situasi haru-biru pada perlawanan itu. Malah dia juga dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan CAF untuk menarik balik kejuaraan Senegal, yang kemudian telah dinafikannya.

RELATED ARTICLES

Most Popular