Pengendali KL City, Risto Vidakovic mengakui terkejut dan tidak faham dengan keputusan pengurusan kelab itu merehatkannya pada ketika tinggal hanya beberapa perlawanan untuk diharungi bagi musim 2025/26.
Malah lebih membingungkan keputusan itu dibuat ketika KL City sedang bersaing sengit untuk kedudukan naib juara Liga Super bersama Kuching City FC dan Selangor FC. Dia juga membawa kelab itu mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum disingkirkan JDT.
Di sebalik prestasi mengagumkan itu, Vidakovic diarahkan supaya bercuti sehingga penghujung musim, dan lebih malang ia dimaklumkan kepadanya melalui whatsapp sebelum perlawanan menentang Kelantan TRW pada 10 April lalu.
Perlawanan itu kemudiannya dikendalikan oleh pembantu jurulatih, Prijaca Edin yang memimpin KL City melakar kemenangan penting 2-0 menerusi jaringan Kpah Sherman dan Safawi Rasid untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan keempat liga.
“Saya tidak faham punca keputusan ini, saya sudah menghantar surat melalui peguam untuk meminta penjelasan daripada pihak kelab, kerana kami hanya mahu tahu sebabnya kenapa saya diberikan ‘cuti khas’ sehingga penghujung musim.
“Saya boleh menerima keputusan ini dengan terbuka, tetapi hanya tinggal tiga perlawanan sahaja lagi, jadi saya menantikan sesuatu untuk didengari daripada pihak kelab. Ketika ini, saya tidak boleh bekerja, saya tidak boleh menyertai latihan dan hanya menunggu,” ujarnya dipetik dari Nadi Arena.
Tambah Vidakovic lagi: ” “Saya bukan mencari masalah, saya berada di sini untuk bekerja dan menjalankan tugas saya. Saya rasa kami mengharungi musim yang hebat dan kami telah melakukan tugas yang baik.
“Saya mahu mengekalkan semua itu kerana saya memiliki kenangan yang baik di sini, saya berjumpa dengan ramai orang baik di sini. Kami mencipta suasana yang baik dalam pasukan dan kami memecahkan pelbagai rekod kelab ini dalam tempoh setahun. Jadi, saya tidak faham apa yang sedang berlaku tetapi saya tidak mahu memikirkannya.”
Meskipun sebabnya kekal menjadi tanda tanya, laporan beberapa media tempatan sebelum ini mengatakan tindakan drastik ke atas Vidakovic ada kaitan dengan aduan daripada beberapa pemain yang tidak serasi dan tidak selesa dengan corak latihan yang diterapkannya.
Malah, ada juga cakap-cakap mengatakan puncanya adalah kerana kenyataan Vidakovic selepas KL City tewas 4-0 kepada JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 3 April lalu.
Vidakovic ketika itu secara jujur mengatakan sudah mengangkat ‘bendera putih’ bagi aksi timbal balik kerana kekuatan JDT terlalu sukar disaingi malah dari awal tidak yakin boleh menyingkirkan JDT dalam dua perlawanan – kenyataan yang tidak disenangi pihak pengurusan.



