Pengendali KL City, Risto Vidakovic berpendapat kad merah dilayangkan pengadil Usaid Jamal kepada Dmytro Lytvyn pada minit ke-50 membunuh semangat pemainnya ketika tumbang 0-7 di tangan JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
KL City ketinggalan 2-0 di babak pertama kepada jaringan Ager Aketxe dan Oscar Aribas, namun melepaskan lima gol dalam 20 minit terakhir untuk kekalahan terbesar mereka dalam Liga Super sejak tewas 6-1 juga kepada JDT pada Julai 2023.
“Pada babak pertama kami bermain biasa sahaja. Selepas kad merah, keadaan jadi sangat sukar dan kami hanya menunggu masa untuk JDT menjaringkan gol. Keputusan itu seolah-olah ‘membunuh’ perlawanan kerana selepas itu pemain tidak lagi melawan,” katanya selepas perlawanan sepertimana dilaporkan BH Sukan.
Pengendali dari Serbia itu yang kembali selepas ‘direhatkan’ pengurusan ketika menentang Kelantan TRW, turut mendedahkan bahawa kemelut dalaman juga menyumbang kepada faktor pasukannya bermain longlai dan seperti hilang fokus.
Menurutnya suasana di dalam pasukan ketika ini tidak lagi sihat dan ditambah pula ketiadaan latihan selama dua minggu memberi kesan besar terhadap prestasi pasukan, khususnya dari segi kecergasan dan disiplin taktikal, sekaligus membuka ruang kepada JDT untuk menguasai perlawanan.
“Suasana pasukan sudah tidak lagi sama seperti dua minggu lalu. Banyak perkara pelik berlaku dalam kelab dan segala-galanya berubah sekelip mata. Saya lihat setiap pemain kini hanya mementingkan masa depan mereka sendiri. Kami bukan lagi sebuah pasukan yang kuat seperti sebelum ini.
“Bola sepak adalah mengenai konsistensi. Tanpa latihan harian dan persediaan rapi, mustahil untuk bersaing. Kalah 0-2 kepada JDT itu perkara biasa, tetapi bolos tujuh gol adalah sesuatu yang keterlaluan,” ujarnya.
Dengan kekalahan ini, KL City kekal di tangga keempat dengan 42 mata, namun dengan tinggal hanya dua perlawanan untuk diharungi, mereka sudah boleh melupakan hasrat untuk memburu penamat dua terbaik Liga Super yang kini menjadi rebutan antara Selangor (49 mata) dan Kuching City (47 mata).



