Ultras Malaya tiada sebarang kuasa atau hak untuk memberi kata dua kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun mana-mana pihak berkepentingan.
Demikian menurut bekas pemain kebangsaan, Dato’ Jamal Nasir Ismail yang menganggap ancaman boikot kumpulan penyokong itu terhadap semua perlawanan skuad Harimau Malaya sekiranya tidak memenuhi tuntutan yang mereka kemukakan sebagai tidak relevan.
Bercakap kepada wartawan Timesport, Farah Azharie, Jamal Nasir berkata perkara pertama perlu difahami adalah Ultras Malaya hanyalah sebahagian kecil daripada jutaan penyokong bolasepak Harimau Malaya dan ketiadaan mereka tidak akan ditangisi.
“Ultras Malaya, mereka langsung tiada kuasa atau hak untuk memboikot sesiapa. Siapa kamu untuk memberi kata dua kepada FAM, MFL atau kerajaan? Bolasepak milik jutaan rakyat, bukan sekumpulan kecil penyokong.
“Penyokong skuad negara bukan sekadar 1,000 Ultras. Kita ada 33 juta rakyat, dan sekurang-kurangnya sejuta di luar sana berminat dengan bolasepak, bukan kamu sahaja. Saya akui penyokong memang penting, tetapi tidak boleh melangkaui had mereka dan berasa berhak ke atas pasukan kebangsaan.
“Jadi bagi saya ia tidak relevan untuk sesiapa memberi tekanan kepada FAM untuk mengikut telunjuk mereka. Jika kamu boikot, orang lain tetap akan datang,” kata Jamal Nasir.
Beliau juga menyifatkan tiga tuntutan Ultras Malaya sebagai tidak realistik dan sudah keluar daripada konteks bolasepak, sambil mempersoalkan sekiranya mereka benar-benar memahami bolasepak.
“Benda yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Kewarganegaraan adalah hak yang diberikan oleh kerajaan secara sah kepada mereka. Kenapa kita perlu memaksa kewarganegaraan seseorang itu ditarik balik?
“Kamu boleh beri idea, kamu boleh beri komen, boleh melaungkan reformasi tetapi pelaksanaannya tidak semudah apa yang kamu cakap. Malah saya sendiri pun tidak mampu melakukannya.
“Ada di antara mereka ini, tendang bola pun tak pernah, hanya tahu bercakap,” tegasnya sambil menggesa supaya sokongan penuh diberikan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sedang memacu revolusi jangka panjang bagi memulihkan prestasi skuad kebangsaan.
“Ini masih baharu. Beri mereka masa. Beri mereka sokongan. Bukan mudah untuk melaksanakan revolusi seperti ini. Penyokong sejati perlu sentiasa berdiri bersama pasukan dalam apa jua situasi, bukannya sokong kemudian letak syarat. Itu seperti meletakkan pisau di leher seseorang.
“Kena berikan sokongan 100 peratus, sama ada pasukan menang atau kalah. Semuanya demi negara. Jangan bila menang, semua orang sokong. Bila kalah, semua orang kecam. Ini tak betul. Kita mesti ada prinsip,” tambah beliau lagi.
Untuk rekod, Ultras Malaya dalam satu kenyataan pada Jumaat, melaksanakan ‘boikot fasa 1’ terhadap pasukan kebangsaan yang mana mereka akan memboikot semua perlawanan membabitkan Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.
Ia sebagai tindakan susulan terhadap tiga tuntutan yang sudah dibentangkan mereka kepada umum pada 13 April lalu, iaitu : menarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan ‘palsu’ yang sedang digantung FIFA, pulangkan pengurusan Harimau Malaya kepada FAM dan laksanakan reformasi bola sepak Malaysia.



