HomeSukan"Kami Kawal Permainan, Tetapi Buriram Lebih Tajam"

“Kami Kawal Permainan, Tetapi Buriram Lebih Tajam”

Xisco Munoz berpendapat JDT sepatutnya boleh melakukan lebih baik ketika tewas 1-3 kepada Buriram United dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN Piala Shopee pada Rabu.

Pengendali dari Sepanyol itu mengakui mereka kecundang angkara kesilapan sendiri, di mana kelekaan di pertahanan memberi ruang kepada Buriram memanfaatkan tiga peluang yang mereka dapat untuk menjaringkan gol.

“Kita telah cuba mengawal permainan, melakukan asakan dan mencipta peluang dari segenap sudut, tapi keputusan pada akhirnya akan memihak kepada siapa yang lebih tajam menyudahkan peluang.

“Buriram mendapat tiga peluang dan menjaringkan tiga gol, hasil serangan pantas dan memerlukan tiga ‘set-piece’ untuk menewaskan kita. Kadangkala hidup ini sukar, dan kita perlu belajar apa kesilapan yang dilakukan.

“Kita tahu tentang kebolehan penyerang mereka dan sebelum perlawanan saya sudah beritahu anda mengenai Guilherme (Bissoli) dan akibat kami memberi ruang kepadanya dan dia bijak ambil kesempatan menjaringkan dua gol.

“Bagaimanapun, saya enggan menyalahkan sesiapa yang menyebabkan pasukan lawan menjaringkan gol kerana apa yang berlaku adalah kesilapan kolektif yang berlaku lebih awal dalam permainan dan tidak wajar untuk menuding jaring kepada mana-mana pemain.

“Selepas ini, kami perlu menganalisis apa yang berlaku dan fokus bagaimana kami boleh menangani situasi ini, Sejujurnya, saya mohon maaf maaf kepada penyokong JDT kerana ini bukan keputusan yang kita inginkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Guilherme Bissoli menjaringkan dua gol buat Buriram pada minit ke-35 dan minit keempat masa kecederaan serta satu jaringan Goran Causic pada minit ke-45.

Manakala JDT mendapat gol tunggal mereka menerusi Ager Aketxe pada minit kedua masa kecederaan. Kekalahan melebarkan rekod tanpa menang JDT ke atas wakil dari Thailand itu dalam lima pertemuan sesama mereka – tiga kali kalah dan dua seri.

RELATED ARTICLES

Most Popular